PENYELIDIKAN PRA-U 2011

Monday, July 23, 2012

LANJUTAN KULIAH 6 - GUNUNG BERAPI


PEMBENTUKAN GUNUNG BERAPI

  • Gunung berapi terbentuk hasil daripada batuan yang cair di bawah kerak bumi ( bahagian mantel ) akibat daripada keadaan suhu yang sangat panas di kawasan tersebut.
  • Batuan cair ini yang dikenali sebagai magma akan naik ke permukaan bumi kerana tekanan yang sangat tinggi di kawasan tersebut.
  • Magma ini kemudiaanya ke luar ke permukaan bumi ( dikenali sebagai lava )melalui rekahan batuan atau lohong gunung berapi lalu membentuk gunung berapi. 
 
Teori Pembentukan gunung berapi

Sempadan  Plat tempat terbentuknya Gunung Berapi
Gunung berapi terbentuk di kawasan sempadan plat

  • Terbentuk apabila berlaku pertembungan antara 2 plat atau lebih.
  • Pertembungan ini akan menyebabkan satu plat akan ke bawah plat yang lain.
  • Zon yang terbenam ini akan menjadi cair disebabkan suhu yang sangat panas di bawah kerak bumi.
  • Bahan yang cair ini bersama magma mengalir ke permukaan bumi membentuk gunung berapi.


Gunung Berapi di Sempadan Plat Eurasia dengan Indo Australia
Gunung Berapi di Permatang Tengah Lautan
 Gunung berapi dikatakan terbentuk di zon permatang tengah lautan

  • Perebakan dasar laut akan berlaku apabila magma yang naik menolak lapisan kerak bumi ke arah yang bertentangan.
  • Lava ini akan membentuk permatang tengah lautan.
  • Contoh , pembentukan gunung berapi di Iceland.


Gunung Berapi ditengah Plat
Gunung berapi yang terbentuk di tengah plat atau jauh daripada sempadan plat

  • Proses pembentukannya dikaitkan dengan titik panas ( hotspots ).
  • Kenaikan magma daripada lapisan mantel kira-kira 13 – 15cm setahun ke permukaan bumi akan menyebabkan gunung berapi terbentuk.
  • Contoh gunung berapi di kepulauan Hawaii.    



JENIS-JENIS GUNUNG BERAPI

Gunung Berapi Dunia
Gunung berapi hidup /aktif

  • Gunung berapi yang masih aktif dan boleh meletus bila-bila masa sahaja.   
  • Terdapat lebih kurang 500 buah gunung berapi di seluruh dunia yang termasuk dalam kategori ini.
  • Contoh gunung berapi hidup/aktif ialah Gunung Etna, gunung Pelee, Gunung Mayon,gunung Krakatua dan gunung Stromboli.

Gunung berapi pendam

  • Gunung berapi yang pernah meletup dan akan meletup lagi di masa depan.   
  • Gunung ini masih menunjukkan adanya aktiviti gunung berapi seperti terdapatnya mata air panas di sekelilingnya.
  • Contoh gunung berapi pendam  ialah gunung Kalimanjaro, Gunung Fujiyama dan Gunung Vesuvius.
 
Gunung berapi mati

  • Gunung berapi mati ialah gunung berapi yang tidak aktif dan tidak lagi akan meletup lagi di masa depan.
  • Gunung berapi di kategori sebagai mati atau tidak aktif kerana tidak ada lagi aktiviti gunung berapi di sekitarnya.
  • Contoh gunung berapi mati ialah gunung berapi Kenya.

 BAHAN- BAHAN HASIL LETUPAN GUNUNG BERAPI

Lava
  • Merujuk kepada magma yang mengalir keluar daripada bahagian mantel dan  mengalir keluar melalui rekahan batuan atau lohong gunung berapi lalu menyejuk dan membeku di atas permukaan bumi.
  • Terdapat dua jenis lava gunung berapi iaitu lava bes dan lava asid.
  • Lava asid  - Lava yang sangat pekat dan mengalir dengan perlahan, cepat membeku, mengandungi kandungan silika yang tinggi dan mempunyai takat lebur yang tinggi.
  • Lava Bes – Lava yang cair dan mengalir dengan laju, lambat membeku dan mengalir lebih jauh di permukaan bumi, mengandungi sedikit silika tetapi banyak mengandungi besi dan magnesium. 
Piroklastik
  • Piroklastik merupakan bahan-bahan serpihan seperti debu halus, lapili, bom dan pumis akibat daripada letupan gunung berapi yang kuat.
  • Lapili berbentuk batu-batu bersaiz kecil
  • Bahan-bahan pejal yang besar dan berbentuk bulat, bujur atau bersegi-segi dikenali sebagai bom.
  • Batuan tempatan seperti batuan pumis yang terdapat disekitar gunung berapi turut diletup keluar.
  • Contoh letupan yang menghasilkan bahan piroklastik ialah semasa letusan gunung berapi Visuvius di pantai barat Itali.
 Abu dan gas
  • Abu gunung berapi merupakan serbuk halus yang berdiameter kurang daripada 4 mm.
  • Semasa letupan gunung berapi abu gunung berapi akan menyelibungi atmosfera bumi  dan jatuh ke bumi dalam bentuk salji hitam.
  • Contoh semasa letusan gunung berapi Pelee di kepulauan Antiles. Letusan  gunung berapi juga boleh menghasilkan wap-wap air (60-70%) dan gas-gas seperti gas karbon dioksida, nitrogen, karbon dioksida, sulfur dan klorin.
 
IGNEUS JALAR DALAM GUNUNG BERAPI

Konsep igneus jalar dalam ( rejahan )

Igneus jalar dalam atau rejahan merujuk kepada bentuk muka bumi dalaman yang dihasilkan oleh magma yang menyejuk dan membeku pada struktur rekahan dan retakan batuan sebelum tiba ke permukaan bumi.

Kata kunci

bentuk muka bumi dalaman
yang dihasilkan oleh magma
yang menyejuk dan membeku
pada struktur rekahan dan retakan batuan sebelum tiba ke permukaan bumi.

Bentuk muka bumi jalar dalam  ( Rejahan )
Bentuk muka bumi Jalar Dalam ( Rejahan )
 Daik

  • Daik terbentuk apabila magma yang keluar daripada lapisan mantel 
  • Melalui rekahan dan retakan batuan dan menyejuk dan membeku dalam  kerak bumi secara tegak
  • Kadang kalanya daik terbentuk secara  berkelompok seperti yang terdapat di barat laut Scotland, terutama di pulau- pulau Mull dan Arran.
Sil
  • Sil terbentuk apabila magma yang keluar daripada lapisan mantel
  • Melalui rekahan dan retakan batuan dan kemudiaannya menyejuk dan membeku dalam kerak bumi secara  mendatar atau condong. Contoh sil yang  paling terkenal ialah Great Whin Sil di utara England.
Lakolit
  • Lakolit berbentuk seperti cendawan. Magma yang mengalir keluar
  • Membeku dalam bentuk dom besar yang mempunyai satu lohong bawah.
  • Contoh lakolit ialah gunung Henry di Utah ( Amerika Syarikat )
Lapolit
  • Lapolit terbentuk apabila magma yang mengalir keluar menyejuk dan  membeku di bawah permukaan bumi dalam bentuk piring yang bahagian tengahnya berbentuk lembangan. Contoh lapolit yang terkenal ialah yang terdapat di Ontario dan di Bushveld, Transvaal.
Pakolit
  • Pakolit terbentuk seperti sebuah kanta. Magma yang mengalir keluar  membeku di bahagian kemuncak lintap mungkum atau di dasar lintap lendut dalam lapisan berlipat.
  • Apabila lapisan batuan di atasnya di gondolkan  oleh  agen-agen gondolan seperti luluhawa dan hakisan
  • pakolit akan terdedah ke permukaan bumi dan  membentuk kubah, atau gunung.
  • Corndon Hill di Shorpshire England di percayai berasal daripada pakolit.
Batolit
  • Batolit merupakan jisim batuan igneus jalar dalam yang paling besar.
  • Batolit terbentuk akibat pembekuan magma secara besar-besaran dalam kerak bumi. 
  • Biasanya jisim batuan ini apabila terdedah di permukaan bumi akibat  yang merupakan batolit ialah Tanah Tinggi Dartmoor dan Bodmin Moor di barat daya England dan Banjaran Pantai British Columbia.
 
IGNEUS JALAR LUAR GUNUNG BERAPI
Konsep igneus jalar luar ( terobosan )

Igneus jalar luar atau terobosan merujuk kepada bentuk muka bumi yang dihasilkan oleh lava yang menyejuk dan membeku di atas permukaan bumi.

Bentuk muka bumi jalar luar gunung berapi


Dataran tinggi lava / Penara Basalt

o   Dataran tinggi lava terbentuk apabila lava mengalir keluar ke permukaan bumi melalui satu rekahan atau beberapa siri rekahan.
o   Proses pengaliran ini  biasanya berlaku secara senyap tanpa melibatkan letupan.
o   Dataran Tinggi  Deccan di India merupakan satu contoh dataran tinggi lava. Menurut kajian
o   Dataran ini mempunyai 29 aliran lava yang  berlainan.




Geiser / Pancutan Air Panas.

o   Terdapat di kawasan gunung berapi.
o   Terdiri daripada punca air  dari dalam bumi yang dipanaskan oleh magma panas di lapisan batuan rejahan jalar dalam.
o   Tekanan yang amat panas menyebabkan airnya terpancut tinggi yang boleh dijanakan tenaga elektrik.
o   Contoh terdapat banyak di  Iceland, Filipina.




Kon komposit
           
o   Kon komposit mempunyai bentuk dan struktur yang lebih kompleks.
o   Lava  atau bahan akan diletuskan melalui lohong tengah dan juga lohong-lohong  sisinya. 
o   Di bahagian tengah gunung berapi terdapat sebuah kon yang  agak  besar dan di cerun-cerun tepinya pula terbentuk anak-anak kon yang lebih kecil hasil daripada pengeluaran bahan daripada rekahan-rekahan yang terdapat di bahagian sisinya.
o   Contoh gunung berapi jenis kon komposit ialah Fujiyama di Jepun, Vesivius di Itali, Shasta di Amerika Syarikat, dan Mayon di Filipina.             




Krater

o   Krater  atau kawah gunung berapi merupakan satu lekukan yang berbentuk bujur atau bulat di puncak gunung berapi.
o   Krater di kelilingi cerun bahagian  tepi yang agak curam dengan garis pusat kurang daripada 1.6 kilometer.
o   Contoh Krater ialah tasik crater di Amerika  Syarikat dan Tasik Haleakala di Pulau Maui,  Hawaii


    

Kaldera

o   Kaldera terbentuk disebabkan oleh letusan gunung berapi yang kuat sehinggakan sebahagian besar daripada kon sebelah atas runtuh.
o   Bentuk  kaldera seakan-akan kawah gunung berapi tetapi saiznya lebih besar, luas dan cetek.
o   Lekukan kaldera ini biasanya membentuk tasik  yang besar dan luas. 
o   Contoh kaldera yang terkenal di dunia ialah Tasik Toba, Sumatera, Indonesia, tasik Aira, di Jepun,  Kilauea di Hawaii.   


Danau Toba


Gunung Berapi Kon Perisai( Kubah Lava)

o   Gunung berapi perisai mempunyai kubah yang lebar dan cerun yang landai.
o   Bahagian atasnya adalah cembung.
o   Terdiri daripada beberapa lapisan lava basalt ( batuan igneus yang terdapat di lembangan lautan) yang terobos melalui lohong pusat atau lohong tepi/ parasit.
o   Gunung berapi ini adalah gunung berapi pulau seperti Pulau Hawaii, Samoa dan Galapagos.



Kon Perisai



Gunung Berapi Lava Asid.

o   Mempunyai takat lebur  dan kadar kelikatan yang tinggi.
o   Berwarna agak cerah dan suhu kurang panas berbanding lava bes.
o   Cepat membeku di lereng gunung membentuk cerun yang curam..
o   Contoh gunung berapi kon asid ialah Puy de Dome di Perancis.
Kon Lava Asid

Gunung Berapi Lava Bes

o   Bersuhu tinggi, agak cair berbanding lava asid dan berwarna agak gelap.
o   Lambat membeku dan dapat mengalir jauh kebawah cerun.
o   Bentuk kon yang landai
o   Subur kerana mengandungi unsur besi dan magnesium.  Ct. G. Merapi di Indonesia.

Kon Lava Bes


Kon abu / Kon Piroklastik
o   Kon abu merupakan kon kecil yang terbentuk daripada bahan-bahan piroklastik  seperti abu, debu, lapili, pumis dan tuf dilonggokkan di sekitar cerunnya
o   Biasanya bahan letusan kasar boleh didapati dibahagian bawah manakala yang lebih halus di bahagaian atas kon. .
o   Kon-kon abu mempunyai cerun  yang curam ( lebih kurang 40 darjah ), tinggi dan tirus.
o   Antara contoh gunung berapi jenis kon abu ialah gunung berapi Vesivius, di Itali dan Krakatoa di Indonesia.



Kon Abu



Aktiviti Gunung Berapi
 
JENIS_JENIS LETUSAN GUNUNG BERAPI

Jenis Hawaiian 
Melibatkan pengeluaran lava yang cair, dan dapat mengalir dengan jauh.

Jenis Strambolian
Melibatkan letusan yang agak kerap. Lava yang dikeluarkan tidak begitu   cair, dan bercampur dengan serpihan pepejal. 

Jenis Vulcanian
Melibatkan pengeluaran lava yang sangat cepat menyejuk dan membeku. Letupan ini menghasilkan banyak bahan pepejal yang pelbagai saiz dengan diiringi kumpulan asap yang hitam.

Jenis Pelean
Letusan jenis Pelean melibatkan letupan yang sangat kuat. Pengeluaran lava yang sangat pekat, menghasilkan kumpulan asap debu gunung berapi yang dikenali dengan nama nuee ardente.  
  
Jenis Vesuvian
Letusan jenis Vesuvian melibatkan pengeluaran lava yang banyak berserta dengan kumpulan gas dan membentuk kumpulan awan yang bersaiz besar.

Plinian
Letusan jenis Plinian menghasilan bunyi yang sangat kuat, disertai dengan semburan gas yang tinggi ke udara. Letusan jenis ini juga menghasilkan sedikit bahan-bahan pepejal.  


FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI BENTUK DAN SAIZ GUNUNG BERAPI  
Jenis lava
Lava bes yang sifatnya cair, lambatmenyejuk dan membeku akan dapat mengalir dalam jarak yang jauh akan membentuk gunung berapi perisai yang bercerun landai dan besaiz besar. Contohnya gunung berapi Mauna Loa dan Mauna Kea di Hawaii.  Lava asid pula dengan sifatnya yang sangat likat, cepat menyejuk dan membeku  akan menghasilkan gunung berapi yang bercerun curam.   
               
Kekuatan dan kekerapan letusan
Letusan yang senyap dan berterusan akan mewujudkan gunung berapi yang sekata.  Bagi letusan yang kuat, lohong gunung berapi akan musnah dan mewujudkan kawah yang besar.  
                
Struktur lohong dan rekahan sisi
Sekiranya terdapat lohong yang banyak termasuk rekahan sisi gunung berapi maka magma akan keluar melalui pelbagai arah.  Akibatnya kon komposit akan terbentuk.
 
Kuantiti bahan yang dikeluarkan.
Saiz sesebuah gunung berapi amat bergantung kepada kuantiti bahan yang dikeluarkan. Sekiranya kuantiti lava dan bahan piroklastik yang dikeluarkan banyak maka gunung berapi yang terbentuk lebih besar dan landai. manakala sekira kuantiti bahan yang dikeluarkan sedikit maka bentuk gunung berapi yang terbentuk lebih kecil dan curam.
 
Tindakan agen gondolan seperti hakisan dan luluhawa
Hakisan yang berterusan ke atas cerun-cerun gunung berapi akan meruntuhkan cerun-cerun tersebut. Magma yang keras akan terdedah di puncak gunung berapi sebagai palam gunung berapi.
 
KESAN AKTIVITI GUNUNG BERAPI TERHADAP ALAM SEKITAR DAN AKTIVITI MANUSA.

KESAN POSITIF

Tanah yang subur
Letusan gunung berapi lava bes kaya dengan pelbagai mineral. Tanah lava bes ini subur untuk kegiatan pertanian seperti tanaman padi dan kapas.  Contoh di Dataran Tinggi Deccan di India, kepulauan Jawa dan di bahagian timur laut Hawaii.

Sumber galian ( perlombongan )
Sumber galian logan seperti kuprum, emas, perak, plumbum didapati di kawasan gunung berapi yang mati  ( di kawasan sempadan plat yang menjunam ).    
 
Sumber tenaga ( geoterma )
Stim daripada mata air panas dan geiser boleh digunakan untuk menggerakkan turbin lalu menghasilkan tenaga elektrik geoterma.
 
Pelancongan
Tasik kawah ( kaldera ) amat unik dan menarik. Kawasan ini amat sesuai   dijadikan sebagai kawasan  pelancongan seperti Danau Toba di Sumatera,   merupakan kawasan ekopelancongan yang popular.   Mata air panas dan geiser   yang banyak terdapat di Rotorua, New Zealand, Yellowstone di Amerika  Syarikat telah menarik ramai pelancong melancong ke kawasan tersebut. 


KESAN NEGATIF

Kematian dan kerosakan harta benda
Letusan gunung berapi Krakatoa pada bulan ogos 1883, telah menghasilkan kejadian ombak luar biasa atau Tsunami setinggi 30 meter. Ombak tsunami ini telah meragut 36,000 nyawa dan memusnahkan 1000 buah kampung di sepanjang pantai Jawa dan Sumatera.

Hujan asid
Gas sulfur dioksida yang terhasil akibat letusan gunung berapi akan menyebabkan berlakunya hujan asid.  Hujan asid ini akan merosakkan tanaman, cat-cat bangunan, ekosistem akuatik, dan kemusnahan hutan.

Kesan kepada sistem pengangkutan
Letupan gunung berapi berupaya untuk menghasilkan debu yang banyak di atmosfera bumi. Debu-debu yang berterbangan di udara boleh menghadkan jarak penglihatan di sesuatu kawasan. Keadaan ini boleh mengganggu aktiviti penerbangan. Debu-debu hasil daripada letupan gunung berapi juga berupaya untuk menghilangkan kuasa enjin kapal terbang setelah enjin kapal terbang dikotori oleh debu gunung berapi.  

Kejadian Tsunami
Gegaran akibat letupan gunung berapi di dasar laut berupaya untuk mewujudkan pergerakan ombak selaju 700 km/sejam. Pergerakan ombak akan menjadi semakin tinggi apabila memasuki kawasan pantai yang cetek. Akibat pergeselan akan mengurangkan pergerakan ombak. Tolakan ombak secara berterusan di bahagian belakang akan meninggikan ombak-ombak yang berada di hadapan.
Kenaikan ketinggian ombak secara tiba-tiba akan menyebabkan air laut berhampiran pinggir pantai akan mengundur ke laut untuk tempoh beberapa minit sebelum ianya melanda semula pantai ini dalam bentuk ombak pembinasa. Contohnya semasa letusan gunung berapi Krakatoa pada bulan ogos 1883, telah menghasilkan kejadian ombak luar biasa atau Tsunami setinggi 30 meter. Ombak tsunami ini telah meragut 36,000 nyawa dan menusnahkan 1000 buah kampung di sepanjang pantai Jawa dan Sumatera.
   
Kesan kepada ekosistem hutan
Aliran lava yang panas apabila merentasi kawasan hutan boleh menyebabkan berlakunya kebakaran kawasan hutan tersebut.  Akibatnya ekosistem hutan musnah dan sekaligus mengganggu sistem rantaian makanan di kawasan tersebut.

KEPENTINGAN BENTUK MUKA BUMI AKTIVITI GUNUNG BERAPI TERHADAP KEGIATAN MANUSIA.

Kegiatan pertanian
Dataran tinggi lava - Letusan gunung berapi lava bes kaya dengan pelbagai mineral. Tanah lava  bes ini subur untuk kegiatan pertanian seperti tanaman  padi dan kapas.  Contoh di Dataran Tinggi Deccan di India, kepulauan Jawa dan di bahagian timur laut Hawaii.

Kegiatan penternakan
Kaldera-  Penternakan ikan air tawar ( akuakultur ) dapat dijalankan seperti yang dijalankan di Tasik Danau Toba, Sumatera.

Kegiatan pelancongan 
Tasik kawah ( kaldera ) amat unik dan menarik. Kawasan ini amat sesuai  dijadikan sebagai  kawasan pelancongan seperti Danau Toba di Sumatera,  merupakan kawasan ekopelancongan  yang popular.

Kegiatan Pelombongan
Batolit- Magma yang membeku di bawah tanah membentuk batuan keras seperti granit. Apabila batuan ini terdedah ke permukaan bumi akibat aktiviti gondolan batuan tersebut boleh menjadi sumber perlombongan yang penting.  Contoh batuan granit yang terdedah oleh proses hakisan di California’s Yosemite National Park.
    

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...