PENYELIDIKAN PRA-U 2011

Thursday, March 1, 2012

TRANSFORMASI SEKTOR PERTANIAN

Sektor pertanian dan industri asas tani perlu mengalami transformasi untuk menjadikan sektor ini lebih moden, dinamik dan berdaya saing. Usaha-usaha seperti berikut sedang dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani: 

(i)    Transformasi Ladang
Saiz tanah yang tidak ekonomik menyebabkan produktiviti dan kos pengeluaran yang tinggi. Program untuk memperolehi faedah berskala seperti projek kelompok, pemuliharaan tanah terbiar secara estet / kelompok, Taman Kekal Pengeluaran Makanan dan Projek 10 Tan Padi telah pun dilaksanakan. Dalam skim-skim ini, Amalan Pertanian Baik (Good Agriculture Practices) digalakkan supaya keluaran pertanian yang dihasilkan adalah berkualiti dan selamat dimakan. Program Plantation Integration Areas (TAC) juga dilaksanakan bagi mengoptimumkan penggunaan kawasan perladangan bagi menjanakan hasil sampingan dengan ternakan lembu. 

(ii)    Transformasi Tenaga Buruh Kepada Penggunaan Mekanisasi, Otomasi Dan Teknologi
Negara perlu meningkatkan tahap dan proses pengeluaran daripada yang bergantung berat kepada tenaga buruh kepada berintensifkan modal, teknologi dan berasaskan ilmu pengetahuan. Program pemindahan teknologi dan cara tanaman yang baru bagi meningkat produktiviti telah dilaksanakan. Ini termasuk program inkubator dan belia tani bagi melahirkan usahawan tani, program fertigasi tanaman pertanian, dan sistem ternakan ayam secara tertutup (closed house system). Di dalam pembangunan perikanan pula, usaha bagi meningkatkan tahap teknologi dilaksanakan melalui program pen culture, akuakultur secara nukleus, open sea cage culture dan mengurangkan kehilangan hasil akibat post harvest


(iii)    Pengurusan Ladang Yang Moden
Program latihan dan kemudahan akan dipertingkatkan bagi memastikan peladang dibekalkan dengan kemahiran teknikal dan teknologi bagi meningkatkan produktiviti manakala pakar-pakar dan pekerja pengembangan yang terlibat dalarn aktiviti bimbingan dan latihan dilengkapkan pengetahuan dan kepakaran bagi membantu masyarakat tani. Untuk mencapai tujuan ini, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang berusaha meningkatkan khidmat pengembangan dan khidmat nasihat teknikal. Inkubator-inkubator bagi memberi latihan tambahan juga telah dibina untuk memberi latihan kepada golongan sasar di ladang sebenar. 

(iv)    Daya Saing Lebih Tinggi
Kualiti produk yang rendah dan tidak seragam menyebabkan hasil pertanian negara tidak dapat bersaing di pasaran global. Dengan harga yang tinggi di pasaran domestik dan jangkaan lambakan hasil pertanian dari luar negara yang lebih murah berikutan pembukaan pasaran di bawah pelaksanaan WTO dan AFTA, hasil pertanian negara akan menghadapi persaingan yang tinggi. Sehubungan itu, hasil pertanian negara perlu berkualiti dan mematuhi piawaian keselamatan makanan antarabangsa bagi membolehkan hasil pertanian dieksport mahupun dipasarkan di dalam negara. Konsep jaminan kualiti daripada ladang ke meja hidang akan diamalkan secara meluas melalui skim akreditasi serta kawalselia dan pemeriksaan veterinar yang ketat di ladang ternakan, kilang makanan haiwan, rumah penyembelihan, kilang pemprosesan, stesen kuarantin clan pintu masuk ke dalam negara. 

(v)    Mempelbagaikan Pulangan Pelaburan
HASIL TANI DI PASARKAN TERUS KEPENGGUNA
Masalah pulangan terhadap pelaburan yang rendah dan lambat dapat diatasi dengan memberi tumpuan kepada aktiviti integrasi tanaman-ternakan, intercropping, mixed farming dan juga marinovasi. Aktiviti pemprosean hiliran juga merupakan satu usaha untuk mempelbagaikan aktiviti ekonomi masyarakat tani dan menambahkan pendapatan mereka dalam mengeluarkan produk yang diproses yang mempunyai nilai yang ditambah yang tinggi. 

(vi)    Pengezonan (zoning)
Selaras dengan pendekatan pembangunan pertanian berasaskan produk, pembangunan secara sektoral melalui pengezonan kawasan pengeluaran pertanian akan dilaksanakan. Ini bertujuan bagi membolehkan pembangunan pertanian secara kelompok dapat dihasilkan supaya faedah perbandingan (comparative advantage) diperolehi. Zon-zon pengeluaran ini termasuklah zon perindustrian akuakultur (ZIA), zon-zon tanaman, zon-zon pengeluaran ternakan dan kawasan integrasi ladang (TAC). Penwujudan zon-zon ini akan membolehkan para pengusaha meningkatkan hasil mereka kerana keadaan agro-klimatik yang sesuai untuk aktiviti tertentu. Selain daripada itu, ia juga membolehkan Kerajaan menumpukan khidmat sokongan mengikut jenis aktiviti pertanian yang dilaksanakan di kawasan tertentu. 

(vii)    Insentif Untuk Projek Pengeluaran Makanan
Kerajaan juga menyediakan insentif istimewa bagi projek pengeluaran makanan seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967. Di bawah insentif ini, syarikat-syarikat yang mengusaha atau melabur dalam projek pengeluaran makanan layak mendapatkan insentif khas selain daripada insentif-insentif lain seperti taraf perintis, insentif untuk menggalakkan eksport dan sebagainya. 

(viii)    Latihan
Pusat Latihan Pertanian Negara dipertanggungjawabkan bagi merancang, menyelaras dan menilai program latihan kemahiran selaras dengan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) bagi melahirkan pekerja dan usahawan tani yang berpengetahuan dan berkemahiran. Selain daripada itu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani juga sedang membina Kolej Pertanian di Kedah di samping meningkatkan taraf 40 institusi sedia ada supaya dapat memberikan latihan yang lebih baik kepada golongan sasar. 

(ix)    Kemudahan Infrastruktur
Sebagai usaha untuk meningkatkan khidmat sokongan kepada sektor pertanian, Kerajaan juga sedang berusaha meningkatkan kemudahan infrastruktur serta khidmat sokongan di sektor pertanian. Dalam hal ini, kemudahan-kemudahan seperti saliran dan pengairan serta jalan ladang akan diperbaiki dan dipertingkatkan dari masa ke semasa. Selain daripada itu, kemudahan pemasaran seperti pusat pengumpulan dan pengedaran produk pertanian juga disediakan. Tujuannya ialah untuk meningkatkan 
keberkesanan rangkaian pemasaran produk pertanian dari ladang ke pasaran.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...