PENYELIDIKAN PRA-U 2011

Monday, June 24, 2013

PEMBANGUNAN LESTARI @ MAMPAN

"Adunan pembangunan atau kemajuan dengan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar daripada musnah".

Pembangunan atau kemajuan membawa erti perubahan landskap negara kearah yang lebih maju dari segi pertempatan, perhubungan dan telekomunikasi, pembandaran, dan aktiviti ekonomi seperti dalam bidang pertanian, perlombongan, perindustrian, perniagaan dan perdagangan 


Pemuliharaan bermaksud membaik pulih sumber-sumber alam sekitar seperti air, hutan, tenaga, udara, mineral dan lain-lain yang telah digunakan tanpa membiarkan sumber-sumber itu pupus.


Pemeliharaan pula meliputi aspek penjagaan dan perlindungan untuk mengekalkan sumber-sumber semula jadi daripada diteroka dengan rakus oleh manusia.

Jadi, Pembangunan mampan atau pembangunan lestari merupakan pembangunan yang dijalankan secara terancang dan berterusan serta tidak menjejaskan keadaan alam sekitar, bukan sahaja untuk generasi semasa malah untuk generasi akan datang. Idea pembangunan lestari dibentuk berasaskan konsep dan prinsip pembangunan berterusan. Bermatlamat untuk memenuhi keperluan masa kini tanpa menjejaskan keupayaan generasi akan datang.

Akta-akta berkaitan

1. Akta Kualiti Alam Sekitar 1974
    - pencemaran udara (seksyen 20)
    - pencemaran bunyi bising (seksyen 23)
    - pencemaran tanah (seksyen 24)
    - pencemaran perairan daratan (seksyen 25)
    - pencemaran minyak (seksyen 29)

2.
Akta Perhutanan Negara 1984 - seksyen 82 (1) melarang sesiapa melakukan pembakaran     

    dalam hutan simpan.

3. Akta Kerajaan Tempatan 1976 - seksyen 81 menyatakan tindakan boleh diambil ke atas 
    kilang yang mengeluarkan asap dan menganggu kesihatan serta alam sekitar.

4. Akta Taman Negara 1980 - menghalang aktiviti yang menjejaskan ekosistem hutan

5. Akta Perikanan 1985

Rumah berkonsep lestari


DEFINISI BANDAR RAYA LESTARI, menurut rumusan Persidangan URBAN 21 di Berlin, Jerman pada Julai 2000, merujuk kepada gagasan untuk meningkatkan kualiti hidup bandar, merangkumi komponen ekologi, budaya, politik, institusi, sosial dan ekonomi tanpa membebankan generasi akan datang.

Dengan kata lain, bandar raya lestari merangkumi pemantapan nilai, sifat, dinamisme, kemudahan dan prasarana lestari dari segi penggunaan sumber tenaga, bekalan air dan pelupusan sisa efisien, sistem pengangkutan canggih, rekabentuk bangunan dan prasarana mesra alam dengan dikelilingi kehijauan pelbagai flora dan fauna. Bandaraya lestari juga seharusnya ditunjuangi pelbagai aktiviti martabat tinggi dari segi keilmuan, penyegaran minda, penyuburan rohaniah, hubungan sosial dan kegiatan perdagangan.

Dari aspek pelestarian alam sekitar, proses perbandaran biasanya menghadapi enam cabaran utama, iaitu sistem pengangkutan, bekalan tenaga, pengurusan air sisa dan sisa pepejal, pengurusan sistem pemparitan dan saliran bandar, pemuliharaan kawasan hijau, riadah serta siar kaki, dan kemudahan infrastruktur. Masalah-masalah lain juga seringkali meruncing, seperti peluang pekerjaan, kepadatan penduduk, pembangunan industri, keselamatan dan zon pemisah antara bangunan.

Selain aspek fizikal dan ekosistem, sesebuah bandar raya lestari juga perlu mengekalkan ciri-ciri kemanusiaan, adat resam dan agama, khususnya dalam konteks pembangunan kemasyarakatan prihatin, dan nilai-nilai lain seperti rekabentuk dan senibina unik berlatar belakang ciri-ciri budaya tempatan.
Rumah yang mempunyai sistem pengudaran yang baik 

Kesemua unsur tersebut menjadi agenda penting dalam pembangunan bandar di serata dunia. Itulah yang mendorong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan Hari Alam Sekitar Sedunia 2006 dengan tema ”Urbanisme Baru” kerana lebih 70 peratus penduduk dunia tinggal di persekitaran bandar yang semakin sesak, kotor dan tercemar.

Dalam hal ini, ramai arkitek dan pensyarah insitutsi pengajian tinggi tempatan, termasuklah Universiti Teknologi Malaysia telah mengemukakan konsep lestari dan kaedah pembinaan rumah kediaman lebih selesa dan mampu milik yang tidak semestinya bersaiz besar. Apa yang penting keselesaan rumah dari segi pengudaraan, penjimatan tenaga tidak meningkatkan tahap kepanasan sekeliling. Selain itu, beberapa buah Pihak Berkuasa Tempatan telah memulakan inisiatif untuk menerapkan konsep bandar lestari dengan memberi keseimbangan antara faktor kemanusiaan, alam sekitar dan struktur bandar.

Gagasan bandar raya lestari telah mula dilaksanakan secara menyerluruh di Kyoto, Perth dan Stockholm. Pada hemat saya, gagasan bandar raya lestari sesuai bahkan perlu dilaksanakan, khususnya di Kuala Lumpur, Putrajaya, Johor Bahru, Melaka, Pulau Pinang dan Kuala Terengganu. Rasionalnya, bandar raya perlu berwajah baru dengan ciri-ciri Malaysia yang lebih lestari dan kontemporari. Selain itu, gagasan bandar raya lestari juga merangsang warga kota supaya turut berperanan aktif menghijau dan memulihkan persekitaran bandar dengan sikap dan amalan baru lebih mesra alam.

Semasa melancarkan pelan induk pengangkutan awam di Kuala Lumpur pada awal Januari lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib telah mengingatkan semua pihak bahawa peratus penggunaan pengangkutan awam di kalangan warga kota masih kecil berbanding dengan kebanyakan bandar raya di negara maju. Warga Kuala Lumpur masih cenderung untuk menggunakan kenderaan sendiri ke tempat kerja atau berurusan di bandar raya. Banyak pihak memberi alasan tentang ketidakcekapan perkhidmatan dan rangkaian pengangkutan awam yang masih terhad.

Namun demikian, inisiatif perlulah dimulakan sekarang untuk meningkatkan lagi rangkaian sedia ada. Selain itu, orang ramai juga perlu didedahkan kepada konsep dan amalan lestari dari segi pengangkutan. Prinsipnya, semakin banyak kenderaan persendirian di pusat bandar maka semakin sesak jalan raya dan semakin banyak gas-gas cemar alam akan dibebaskan di ruang udara. Dalam hal ini, pengangkutan awam boleh mengurangkan impak alam sekitar tersebut sekali gus lebih menjimatkan pengguna.

Sistem perhubungan perlu di perbanyakkan dan ditingkatkan

Kesemua pelan induk perancangan bandar ini perlu dilaksanakan segera dan sebaiknya sebelum keadaan bandar raya menjadi lebih parah. Dan yang lebih penting warga kota perlu dididik supaya sama-sama memahami dan menghayati minda dan cara hidup lestari. Hakikatnya warga kota merupakan asas kewujudan sesebuah bandara raya lestari, bukannya tembuk, bangunan konkrit, jaringan LRT atau jalan raya bertol. Fokus bandar raya lestari ialah manusia dan kemanusiaan, bukan sistem atau bahan binaan. Alat perhubungan yang tidak mengeluarkan asap dan selamat perlu diperbanyakkan dan dipertingkatkan meliputi bandar-bandar besar di seluruh negara.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...