Gambar disebelah: Masjid tertua di Beijing, China.
‘MANUSIA Mati Meninggalkan Nama’, ‘Nama Menunjukkan Bangsa’ dan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’. Pepatah Melayu menunjukkan, di mana bangsa itu, jiwanya ialah bahasa dan pertanda kepada sesuatu bangsa ialah nama. Nama atau jasa, itulah yang menjadi sebutan dan bahan sejarah. Mari kita lihat asal-usul Hang Tuah.
Mula-mula kita lihat namanya…
Satu kajian dibuat dalam perbendaharaan Melayu, terutamanya dalam Kesultanan Melayu Melaka, tidak ada nama yang di awalnya sebutan ‘Hang’ pada nama-nama Melayu, seperti Hang Tuah dan 4 sahabatnya, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Tetapi ‘Hang’ pada nama-nama bangsa Cina, memang ada. Contohnya, yang bermula dari Hang, Tan dan Lee. Itupun bergantung kepada suku kaum asal mereka dari wilayah-wilayah tertentu dari negeri China. Kalau nak dikatakan, ianya adalah gelaran anugerah dari Raja-raja Melayu, itupun tidak benar juga. (Nama Hang Samrin sekarang ada, tapi bukan di Malaysia).
Kenapa?
Menurut Mohd Yunus Ibrahim dari Jabatan Sejarah UKM (dalam kertaskerja bertajuk ‘Melaka 1400-1511 Dari Aspek Kemasyarakatan), gelaran-gelaran yang diberi hanyalah Bendahara, Paduka Raja, Temenggung, Laksamana, Syahbandar dan Mandulika. Tiadapun gelaran ‘Hang’!
Menurut buku ‘Sejarah Melayu’ (edisi W.G.Shellabear MPH Ltd S’pore), pemergian Tun Perpatih Putih utusan Sultan Mansur Shah ke negeri China, telah membawa balik Puteri Hang Li Po bersama 500 dayang-dayang. Sultan Mansur Shah telah berkahwin dengan puteri tersebut (kahwin campur) dapat putera, diberi nama Paduka Mamat. Tidak pula diberi nama Paduka ‘Hang’ Mamat.
Biasanya nama-nama dalam loghat Cina mempunyai 3 sukukata. Hang Tuah dikaitkan dengan Hang Too Ah. Hang Jebat dari Hang Jee Fatt. Hang Lekir dari Hang Lee Ker dan Hang Lekiu dari Hang Lee Kiew. Bagaimana pula dengan Hang Kasturi yang mempunyai 4 sukukata?
Terdapat 2 andaian. Pertama, Hang Kasturi memang berbangsa Melayu, tetapi bergaul rapat dengan anakcucu dari rombongan Puteri Hang Li Po. Kedua, memang nama sebenarnya Kasturi, tetapi ditambah ‘Hang’ oleh 4 rakankaribnya yang Cina itu, hingga menjadi sebutan kekal.
Ada lagi pendapat yang menarik, di mana dalam kertaskerja Ong Hak Ching dari Jabatan Sejarah UKM menyebutkan, Sultan Mansur Shah telah memberi tempat kediaman di Bukit Cina kepada Puteri Hang Li Po dan 500 dayang-dayangnya. Termasuk mereka yang belum Islam atau sudah Islam. Anak cucu mereka digelar ‘biduanda Cina’ yang bermakna ‘golongan yang dilindungi’.
Pada saya, mungkin dari sinilah lahirnya golongan ‘baba & nyonya Melaka’ yakni golongan Cina yang masih belum beragama Islam tetapi sudah berbudaya (berpakaian, bercakap, makan atau lain-lainnya) seperti orang Melayu, terdapat hingga ke hari ini di Melaka. Kerajaan waktu itu tidak memaksa mereka menganut agama pemerintah, menekan atau menghalau keluar dari negaranya sendiri seperti yang berlaku dalam kebanyakan negara-negara minoriti orang Islam hari ini.
Golongan seperti ini (yang belum Islam) dalam Negara Islam disebut ‘zimmi’, bermakna ‘yang dijamin’ (yakni dijamin keselamatannya oleh kerajaan Islam). Bagi golongan yang telah menganut agama Islam dan berbudaya Melayu waktu itu, mereka sudah tiada beza dengan orang Melayu dan larut dalam bangsa Melayu. Bukan itu sahaja, bahkan dalam budaya Melayu pun sudah diresapi pengaruh Cina. Umpamanya istiadat payung kuning di kalangan raja Melayu, gelaran ‘biduanda Cina’, hang, silat kuntau, ukiran pagoda di masjid-masjid Melaka dan sebagainya.
Di situlah perlunya Masjid Cina atau Pusat Kebudayaan Cina, untuk kembalikan balik budaya Cina di kalangan orang Cina yang beragama Islam, atau kepada orang Cina yang baru hendak masuk Islam. Mengikut Mohd Ridhuan Tee Abdullah yang mempertahankan pembinaan Masjid Cina,
“…
senibina pun adalah anugerah Allah hasil kreativiti manusia ciptaan-Nya. Justeru, ia perlu saling diraikan antara satu sama lain selagi mana ia tidak bercanggah dengan syariat. Inilah keindahan Islam. Lagipun, ia adalah alat dakwah yang membawa makna yang cukup besar.”
Begitupun, Masjid Cina bukan untuk orang Cina sahaja, seperti juga Masjid Melayu di Pulau Pinang dan Masjid India yang ada hampir di seluruh negara bukan digunakan oleh sesuatu bangsa sahaja. Jadi, ciri-ciri Masjid Cina perlu diluaskan perbincangannya. Konsep pembinaan dan peranannya perlu diperjelaskan.
Gambar di sebelah: Masjid Tengkera di Melaka berbentuk senibina Masjid tertua di Beijing, China .
HANG Tuah adalah lagenda pahlawan Melayu yang dibangga-banggakan. Macam Robin Hood di Eropah atau Sipitung di Indonesia. Kerana itu ada yang menganggap beliau hilang tiada kuburnya. Kini, konon kuburnya sudah dijumpai di Melaka, dulunya disebut kubur Tok Guru, dan sekarang sudah menjadi kubur Hang Tuah.
Seperti firman Allah SWT; ‘Wahai manusia, sesungguhnya Kami ciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, supaya kamu saling kenal-mengenal.’ (Hujurat: 13)
Isu supaya dibina Masjid Cina, saya rasa tiada masalah malah perlu dalam kontek untuk mengasolisasikan bangsa adalah mudah dengan agama. Tidak timbul soal perkauman seperti yang dicanang oleh golongan yang tidak mahu pembinaan Masjid Cina. Contohnya, di bandaraya Pulau Pinang sendiri pun sudah ada Masjid Melayu, Masjid Kapitan Keling, Masjid Benggali dan Masjid Pakistan, takde siapa gaduh-gaduh pun, malah semua bangsa boleh solat dengan satu Iman, sebelah menyebelah. Tak ada masalah kan?.
Berbalik kepada kertaskerja Ong Hak Ching lagi, terdapat 3 andaian hipotesis mengenai hal yang disebutkan tadi. Pertama, tidak semua dari rombongan Puteri Hang Li Po itu memeluk agama Islam. Kedua, Hang Too Ah, Hang Jee Fatt, Hang Lee Ker dan Hang Lee Kiew adalah keturunan Puteri Hang Li Po. (Semua nama-nama itu bermula dengan ‘Hang’.) Ketiga, keempat-empat sahabat karib ini kemudiannya memeluk agama Islam, tetapi mengekalkan nama Cina mereka mengikut loghat Melayu.
Jadilah nama mereka seperti yang disebut dalam buku-buku sejarah Melayu sekarang, iaitu Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. (Kalau perkataan tuah, jebat dan kasturi ada maknanya dalam bahasa Melayu, bagaimana dengan makna lekir dan lekiu? Tandanya nama-nama ini bukan asal dari Melayu..)
Mengenai Hang Kasturi menurutnya terdapat percanggahan pendapat sejak dulu lagi. Siapa pula sebenarnya yang derhaka kepada Sultan Melaka? Pengarang ‘Sejarah Melayu’ mengatakan Hang Kasturi, sedangkan pengarang ‘Hikayat Hang Tuah’ menyebutkan Hang Jebat. Terdapat 3 andaian mengenainya. Pertama, terdapat sesuatu yang unik dan tersembunyi tentang kedua-dua tokoh ini, sehingga tiada kata sepakat dari kedua-dua pengarang tersebut atau pakar sejarah lampau.
Kedua, pengarang ‘Sejarah Melayu’ menggunakan bahan dalam penulisannya, hanya secara mengambil pendapat lisan, dan tiada suatu penulisan terperinci, yang luas dan menyeluruh. Ketiga, pengarang ‘Hikayat Hang Tuah’ nampaknya lebih formal, kerana menggunakan semacam bentuk kajian hingga dapat menggariskan hal-hal peribadi Hang Tuah secara detail.
Kesimpulannya, Hang Tuah adalah lagenda pahlawan Melayu. Ianya dijadikan simbol dan kemegahan Bangsa Melayu, walaupun sebenarnya beliau adalah orang Cina yang di ‘Melayu’kan. Begini asal usulnya menurut hipotesis itu…
Pendapat bahawa Hang Tuah, adalah anakcucu kepada keturunan rombongan Puteri Hang Li Po berbangsa Cina, yang datang dari negeri China ketika pemerintahan Sultan Mansur Shah. Mereka adalah pendekar-pendekar Cina yang dihantar oleh kerajaan Cina untuk mengawal puteri Hang Li Po.
Nama asalnya ialah Hang Too Ah. Tetapi setelah memeluk Islam dan berkhidmat dengan Sultan Melaka, sebutan namanya ini telah bertukar menjadi Hang Tuah. Pengislaman Hang Tuah telah mempengaruhi rakan karibnya yang 3 lagi, iaitu Hang Jee Fatt, Hang Lee Ker dan Hang Lee Kiew, yang juga akhirnya masuk Islam. Mereka pula bergaul rapat dengan Kasturi, rakan sebaya yang berbangsa Melayu. Sebagai tanda persahabatan yang abadi, Kasturi pun diberi gelaran ‘Hang’, menjadi Hang Kasturi.
Mereka berlima mulai terkenal di kalangan istana apabila mereka berjaya menyelamatkan Bendahara Negeri Melaka dari serangan orang mengamuk. Mereka terkenal dengan nama-nama Melayu, walaupun mereka berempat berasal dari anak cucu Hang Li Po berbangsa Cina. Disebabkan tiada bantahan apa-apa jika dilihat dalam sejarah, maka orang Melayu waktu itu dikatakan boleh menerima orang Cina seperti saudara sebangsa mereka. Maka sekarangpun orang Melayu dan Cina boleh bersatu atas agama. Bagaimana pendapat anda diluar sana?