PENYELIDIKAN PRA-U 2011

Sunday, April 13, 2014

HIDROLOGI - SIMPANAN AIR TANAH DAN KEGUNAANNYA

FEB 12, 2014
SYED IYLIA HARIZ AL-QADRI SYED IZMAN


KUALA LUMPUR:  Malaysia dianggarkan mempunyai kira-kira 5,000 bilion meter padu simpanan air bawah tanah yang belum diusik, kata Pengarah Institut Pengurusan Alam Sekitar dan Sumber Air, Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Dr Abdull Rahim Mohd Yusoff. Beliau berkata jumlah itu berdasarkan kajian yang pernah dilakukan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) pada 1982. "Namun sehingga kini, hanya tiga peratus sahaja daripada sumber itu yang digunakan," katanya kepada Bernama. 
Telaga Tiub
Beliau berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga pernah membuat kajian pada 2011 yang mendapati tujuh peratus atau 64 bilion meter padu air daripada hujan tahunan yang turun akan disimpan di bawah tanah. "Sehubungan itu saya rasa kita perlu mengguna pakai air bawah tanah kita yang mempunyai potensi sangat besar untuk menangani krisis air di beberapa negeri seperti yang sedang dialami sekarang, "katanya. 

Abdull Rahim berkata air di bawah tanah adalah selamat untuk digunakan malah lebih berkualiti daripada air yang terdapat di permukaan atas. "Ia selamat kerana sumbernya adalah daripada air hujan yang telah diserap ke dalam bumi dan diyakini tidak terdedah kepada faktor pencemaran kerana kedalaman punca air bawah tanah yang berada antara 50 meter hingga 100 meter di bawah tanah, "jelasnya. 

Telaga Tiub mengguna pump elektrik
Beliau berkata terdapat dua kaedah untuk mendapatkan sumber air bawah tanah iaitu menerusi penggalian telaga tiub lebih 100 meter ke dalam tanah dan telaga jejari 'riverbank filtration system' iaitu mengeluarkan air di bawah perut sungai. Kedua-dua cara ini turut lebih kos efektif berbanding kaedah penyahgaraman atau proses penukaran air laut kepada air tawar, katanya. Beliau berkata bekalan air bawah tanah turut bersifat konsisten kerana tujuh peratus daripada 971 bilion meter padu hujan tahunan akan dikitar semula ke dalam tanah.

Air disimpan dalam tangki
Abdull Rahim mencadangkan sekiranya sumber air bawah tanah tidak mahu dijadikan sebagai sumber utama air negara, ia boleh dijadikan sebagai rizab air bagi menangani krisis bekalan air pada musim kemarau. Katanya setakat ini hanya negeri Kelantan yang didapati menggunakan air bawah tanah dengan melebihi kapasiti 50 peratus. Ketua Jabatan Teknikal dan Perancangan Pembangunan Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Wan Mohd Zamri Wan Ismail berkata pihaknya menggunakan air bawah tanah menerusi kaedah telaga jejari yang setiap telaga mampu menyumbang antara lima hingga 30 juta liter air sehari. "Hingga kini hampir 75 peratus penduduk Kelantan yang menerima bekalan air bersih mendapatnya daripada air bawah tanah, "katanya. 
Pelajar sekolah dapat menikmati air bersih dari telaga tiub.

Begitu juga projek  meperlengkapkan bekalan air di Sarawak, di mana kos kira-kira RM 85 ribu di sediakan oleh kerajaan pusat yang melibatkan penyediaan perigi tiub, kemudahan tangki simpanan air, satu set pam air berkuasa elektrik dan puluhan sambungan ke pili paip air di sediakan di hadapan pintu masuk rumah panjang dan sekolah berhampiran.






 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...