PENYELIDIKAN PRA-U 2011

Saturday, December 28, 2013

AZAM TAHUN BARU


Sudah anda berazam ?

Saat ini, pasti ramai yang sudah mempunyai azam baharu, ada semangat baharu dan macam-macam yang baharu. Sebelum itu, jom kita lihat 'sejarah' kita yang lalu. Azam Tahun 2013 yang lalu sejauh mana telah kita laksanakan? Kalau sudah terlaksana, sejauh mana ia berkesan dalam hidup kita? Apa perubahan yang telah berlaku? Adakah lebih baik atau lebih buruk? Kalau ada yang masih kurang, ayuh sempurnakannya pada tahun baru ini. Kata orang "Tahun baharu Azam mesti baharu".


Perlukah Azam Baharu?

Azam bukanlah perkataan keramat yang perlu disebut setiap kali tahun baharu menjelang. Malah ada di antara kita yang azamnya setiasa dibawa ke tahun-tahun akan datang, sebagai contoh, azam hendak menepati masa mengulang kaji pelajaran mengikut jadual yang telah disediakan. Bagi pelajar-pelajar yang biasa menepati masa, perkara ini nampaknya mudah ditunaikan berbanding bagi pelajar-pelajar yang tegar. Kebanyakan pelajar masih belum berjaya menunaikan perubahan positif yang dijanjikan.


'Saya berazam nak belajar bersungguh-sungguh pada tahun ini', adalah azam utama dan paling popular yang dipilih oleh pelajar-pelajar sekolah pada setiap tahun demi mencapai citi-cita memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan yang bakal mereka duduki nanti.

Secara umumnya, azam baharu merupakan suatu perubahan. Walaupun kita tak menjanjikan berlakunya perubahan, tetapi dengan perkataan itu sendiri, bakal terbit nilai perubahan atau ingin berubah dari suatu sifat ke sifat lain.


Memperkasa Azam Baharu

Memperkasa cita-cita dan memperbaharui azam biasanya dilakukan pada setiap kali tahun baharu. Dalam usaha memperkasa cita-cita, semangat dan keazaman terus dipertingkatkan demi kebaikan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Setiap cita-cita yang ingin dicapai sudah tentu mempunyai halangan dan cabaranBagi pelajar yang bersifat dinamik dan kreatif, halangan dan cabaran itu adalah alat pendorong untuk mencapai kemajuan, bukan sebagai alasan untuk tidak berusaha.

Cita-cita diikuti azam yang bersungguh-sungguh perlu bagi manusia yang hidup. Manusia yang tidak bercita-cita bukanlah sebenarnya dia hidup, tetapi itu adalah kematian kerana manusia yang tidak mempunyai cita-cita sudah mati batinnya, dan kematian batin adalah sama dengan hidup dalam kubur. Justeru, manusia yang memiliki cita-cita tidak kenal istirahat. Mereka akan sentiasa berusaha dan bekerja bersungguh-sungguh untuk merealisasikan cita-cita.


 Azam diringi usaha gigih

Apakah yang menyebabkan sesuatu azam boleh dicapai atau sebaliknya? Nescaya, dalam hal ini apa yang paling penting adalah semangat bekerja keras tanpa jemu dan putus asa menghadapi segala cabaran dan rintangan dalam mencapai azam masing-masing.

Sesungguhnya, setiap impian tidak datang bergolek umpama 'bulan jatuh ke riba'. Untuk mencapai kejayaan dalam cita-cita, pelajar dan remaja perlu menghadapi pelbagai cubaan dan ujian. Bagaimanapun, cubaan dan ujian akan dapat membentuk kedewasaan seseorang, mencabar minda, mencekalkan akal, memperbaiki akal budi, menguatkan semangat dalam menempuh liku-liku perjuangan hidup.

 Apakah azam 2014 anda?, dan sudahkan anda melaksanakan azam tahun lalu? Ingatlah, azam bukan sekadar deretan huruf atau ungkapan, tetapi ia membawa erti untuk mengubah kehidupan manusia, kerana kekuatan sebenar terletak pada hati. Bagi merealisasikan segala cita-cita, kuatkan azam dan iltizam, fokuskan perhatian kepada satu perbuatan dan pekerjaan dengan tekun, agar menjadi orang berjaya dalam kehidupan masa depan.


"Nature isn't change. Change is nature"

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...