PENYELIDIKAN PRA-U 2011

Friday, August 3, 2012

KULIAH 8 - LULUHAWA


LULUHAWA

Konsep luluhawa
Luluhawa merupakan proses pemecahan, peleraian ,pereputan dan penguraian batuan di permukaan bumi atau hampir permukaan bumi secara insitu menyebabkan berlakunya perubahan fizikal atau kandungan kimia batuan oleh agen-agen luluhawa seperti iklim ( suhu, hujan dan fros ) serta biotik

Kata kunci
·         Proses pemecahan, pereputan dan penguraian batuan
·         Menyebabkan berlakunya perubahan fizikal atau kandungan kimia
batuan
·         Agen-agen luluhawa  seperti iklim ( suhu , hujan dan fros ) serta biotik

Faktor-faktor yang mempengaruhi luluhawa batuan

Faktor semulajadi

Bentuk muka bumi
  • Aktif di kawasan bercerun berbanding dengan kawasan yang bentuk muka buminya rata.
  • Batuan di kawasan bercerun sentiasa terdedah kepada agen-agen luluhawa kerana bahan-bahan regolit yang terluluhawa tidak kekal lama di kawasan tersebut ( sentiasa dipindahkan oleh agen hakisan seperti air mengalir, glasier ) .  
  • Sebaliknya di kawasan yang bentuk muka buminya rata, bahan-bahan regolit hasil kegiatan luluhawa sentiasa melitupi bahagian batuan daripada terdedah dan keadaan ini menyebabkan kegiatan luluhawa  terganggu.
  • Cerun yang menghadap angin lazim akan menerima jumlah hujan tahunan yang lebat berbanding cerun yang membelakangi arah tiupan angin.
  • Hujan yang lebat akan menggalakkan berlakunya luluhawa kimia di kawasan cerun yang mengadap angin lazim tersebut tersebut.
Iklim
Unsur-unsur iklim yang mempengaruhi luluhawa ialah suhu, bahangan matahari, hujan dan fros.
( a )  Bahang matahari dan suhu 
  • Mempengaruhi kegiatan luluhawa sama ada luluhawa kimia ataupun luluhawa fizikal/mekanikal. 
  • Di kawasan gurun panas julat suhu harian yang tinggi menyebabkan berlakunya luluhawa fizikal/mekanikal melalui proses pengembangan dan pengecutan. Pada waktu siang bahang matahari yang diterima di kawasan gurun panas adalah tinggi menyebabkan suhunya tinggi (lebih daripada 40º C ) dan keadaan ini menyebabkan batuan di kawasan tersebut mengembang. Pada waktu malam suhu di  kawasan ini jatuh secara mendadak ( kurang daripada 10  ºC ).Penurunan suhu secara mendadak ini menyebabkan batuan di kawasan tersebut mengecut.  Proses kembang-kecut yang berlaku secara berulangkali dalam tempoh yang lama  menyebabkan batuan di kawasan tersebut mengelupas dan akhirnya pecah. 
  • Suhu juga mempengaruhi kegiatan luluhawa kimia khususnya di kawasan tropika lembab. Suhu yang sentiasa tinggi sepanjang tahun ( purata 27 ºC ) menyebabkan kegiatan luluhawa kimia aktif  sepanjang tahun. Menurut Van Den Hof setiap kenaikan suhu sebanyak 1 ºC akan meningkatkan keberkesanan luluhawa kimia sebanyak 10 %.
 ( b )   Hujan
  • Membekalkan sumber air untuk sebarang proses luluhawa. 
  • Semua proses luluhawa kimia seperti larutan, pengkarbonan, penghidratan, pengoksidaan  dan hidrolisis memerlukan air untuk tindak balas kimia.
  • Hujan yang lebat di kawasan tropika lembap ( melebihi 2000 mm )  menyebabkan proses luluhawa kimia berlaku dengan pesat di kawasan tersebut.
( c )   Fros
  • Di kawasan tanah tinggi yang ketinggianya melepasi tahap pembekuan, fros amat berkesan untuk memecahkan batuan di kawasan tersebut dalam bentuk luluhawa fizikal.
  • Pada waktu siang air hujan akan memasuki rekahan batuan di kawasan tersebut dan pada waktu malam apabila suhu jatuh di bawah takat beku air yang terdapat dalam rekahan tersebut akan membeku.
  • Apabila air dalam rekahan tersebut membeku, isipadu dalam rekahan tersebut telah mengembang sebanyak 10 % daripada isipadu asalnya.
  • Pengembangan ini akan menyebabkan tekanan yang kuat pada dinding rekahan batuan yang berkenaan sehinggakan rekahan itu menjadi besar.
  • Proses beku dan cair akan berlaku secara berulangkali sehingga batuan tersebut akhirnya pecah. 
Jenis batuan
  • Batuan yang berbeza mempunyai daya ketahan yang berbeza terhadap luluhawa.
  • Batuan yang lembut daripada jenis enapan seperti batu kapur dan batu pasir lebih mudah terluluhawa misalnya melalui proses larutan dalam luluhawa kimia. Batuan yang lebih keras  seperti feldspar, dan kuarza lebih tahan terhadap luluhawa sama ada luluhawa kimia atau fizikal.
  • Ketahanan sesuatu batuan itu terhadap luluhawa bergantung kepada kandungan mineral, warna dan struktur rekahan yang terdapat pada batuan tersebut.
( a )  Kandungan mineral
  • Ketahanan mineral yang terdapat dalam batuan terhadap luluhawa adalah berbeza-beza.
  • Batuan yang mengandungi bahan yang boleh menyerap air akan mengalami luluhawa kimia melalui tindakan penghidratan. Antara kandungan kimia batuan yang biasanya mengalami penghidratan ialah kalsium sulfat ( anhidrit ), feldspar dan mika.
  • Batuan yang mengandungi banyak sebatian besi ( ferum ) akan mudah terluluhawa melalui tindakan pengoksidaan.
( b )  Warna batuan
  •  Batuan yang berwarna gelap biasanya mengalami tindakan luluhawa yang lebih giat kerana lebih banyak menyerap dan menyimpan haba bahang matahari  berbanding batuan yang berwarna cerah yang kurang menyerap dan menyimpan haba. Contoh batuan gelap ialah gabro, olivin, augit dan biotit menyerap lebih banyak bahang daripada matahari berbanding batuan yang mempunyai permukaan yang lebih cerah seperti felsfar, kuarza, dan muskovit yang lebih memantulkan balik sebahagian bahang matahari yang diterimanya. 
( c )  Struktur rekahan
  • Struktur retakan dan rekahan yang wujud di permukaan batuan akan memudahkan air dan hablur ais ( fros ) bertindak ke atas batuan tersebut.
  • Proses beku dan cair ( pengembangan ) yang berlaku dalam struktur rekahan batuan menyebabkan rekahan tersebut bertambah membesar dan akhirnya pecah kerana isipadunya bertambah sebanyak 10 %.
  • Struktur retakan dan rekahan pada permukaan batuan juga penting dalam menggalakkan berlakunya luluhawa kimia ke atas batuan.
  • Apabila berlakunya hujan, air hujan tersebut akan masuk ke dalam rekahan tersebut dan berlakulah tindakan luluhawa kimia secara pengkarbonan dan larutan seperti mana yang berlaku ke atas batu kapur.
Tumbuh-tumbuhan
  • Tumbuh- tumbuhan membekalkan asid, gas-gas dan sebatian kimia bagi mempercepatkan tindakan balas kimia terhadap batuan.
  • Contoh karbon dioksida yang dilepas ke udara akibat pepeluhan tumbuhan  akan dilarutkan oleh air hujan lalu membentuk asid karbonik lemah.  Asid karbonik lemah ini amat sangat diperlukan dalam proses pengkarbonan, dan larutan yang bertindak balas dengan batuan seperti  batu kapur dan dolomit. 
  • Tumbuhan juga membantu dalam proses luluhawa fizikal.  Pembesaran akar-akar  tumbuhan boleh meretak dan memecahkan sesuatu batuan. 
  • P. Birot ( 1966 ), menjelaskan bahawa akar-akar pokok yang lebarnya 10cm dan satu meter panjang  apabila memasuki sesuatu rekahan batuan dan kemudiannya membesar akan berupaya  untuk menggerakkan satu bongkah batuan seberat 10 tan.       
Tindakan hidupan dalam tanah
  • Tindakan hidupan dalam tanah seperti cacing, tikus dan arnab secara tidak langsung dapat membantu kegiatan luluhawa.
  • Hidupan dalam tanah sentiasa melonggarkan sruktur tanah dengan mengorek lubang dan memindahkan tanah ke permukaan.
  • Apabila berlakunya hujan air akan masuk jauh ke dalam tanah melalui lubang-lubang ini dan kesannya luluhawa akan berlaku jauh ke dalam tanah. 
Mikroorganisma
  • Terdapat mikroorganisma daripada jenis kulat, yang hidup di atas batuan akan mengeluarkan asid organik yang boleh melarutkan bahan mineral dalam batuan dan sekaligus membantu mempercepatkan tindakan luluhawa ke atas batuan tersebut.
Masa
  • Batuan yang lebih keras seperti batu daripada kumpulan igneus memerlukan masa yang lebih lama untuk terluluhawa berbanding batuan lemah dan lembut daripada kumpulan enapan.
Faktor Aktiviti manusia- aktiviti pembangunan

JENIS-JENIS LULUHAWA
Luluhawa batuan secara umumnya dapat dibahagikan kepada tiga jenis iaitu luluhawa mekanikal/ fizikal, luluhawa kimia / dalaman, dan luluhawa biologi

LULUHAWA FIZIKAL

Konsep luluhawa fizikal
Luluhawa mekanikal/fizikal merupakan proses  pemecahan dan peleraian batuan di permukaan bumi atau hampir permukaan bumi secara insitu oleh agen-agen luluhawa fizikal seperti iklim ( suhu, hujan dan fros ) serta biotik dengan tanpa mengubah kandungan kimia batuan. 

Kata kunci
·         Proses pemecahan dan peleraian batuan
·         Agen-agen luluhawa mekanikal/fizikal seperti iklim ( suhu , hujan dan fros ) serta biotik
·         Tanpa mengubah kandungan kimia batuan

PROSES LULUHAWA FIZIKAL

Pengembangan hablur garam.
  • Proses ini berlaku secara meluas di kawasan gurun panas.
  • Pemanasan matahari yang melampau di  kawasan ini menyebabkan air di bawah tanah ditarik ke atas oleh daya rerambut ( capillary force ) dan tersejat ke permukaan. 
  • Apabila air tersejat, hablur-hablur garam akan tertinggal di dalam rongga atau retakan batuan ( batu pasir ). 
  •  Proses sejatan yang berterusan akan menyebabkan kuantiti hablur garam dalam rongga atau rekahan batuan bertambah dan mengembang . 
  •  Tekanan yang diwujudkan oleh pertambahan kuantiti hablur garam ini akan menyebabkan batuan tersebut tersepai.  
Tindakan fros

Tindakan Fros yang berulang

  • Di kawasan tanah tinggi yang ketinggianya melepasi tahap pembekuan, fros amat berkesan untuk memecahkan batuan di kawasan tersebut dalam bentuk luluhawa fizikal.
  • Pada waktu siang,  air hujan yang memasuki rekahan batuan di kawasan tersebut dan pada waktu malam apabila suhu jatuh di bawah takat beku air yang terdapat dalam rekahan tersebut akan membeku.
  • Apabila air dalam rekahan tersebut membeku, isipadu dalam rekahan tersebut telah mengembang sebanyak 10 % daripada isipadu asalnya.  
  • Pengembangan ini akan menyebabkan tekanan yang kuat pada dinding rekahan batuan yang berkenaan sehinggakan rekahan itu menjadi besar. 
  •  Proses beku dan cair akan berlaku secara berulangkali sehingga batuan tersebut akhirnya pecah. 
  •  Tindakan fros ini akan menghasilkan serpihan yang bersegi-segi dan serpihan batuan itu akan terkumpul di kaki gunung sebagai talus.
Pelepasan tekanan 
Gambar menunjukkan Luluhawa secara pemecahan bongkah
  •  Pelepasan tekanan merujuk kepada proses pengurangan tekanan pada batuan. 
  •  Semasa bongkah batuan tersebut tertanam di dalam bumi , tekanan batuan yang terletak di atasnya menyebabkan bongkah batuan tersebut berada dalam keadaan kecut. 
  • Apabila tanah lapisan atas batuan tersebut di hakis oleh agen-agen hakisan menyebabkan batuan tersebut terdedah ke permukaan bumi. 
  •  Proses pendedahan ke permukaan bumi ini dikenali sebagai pelepasan tekanan. Pendedahan ini menyebabkan batuan tersebut mengembang akibat daripada tekanan yang berkurangan. 
  • Batuan ini kemudiannya merekah dan retak. 
  •  Proses pengembangan yang berterusan akan menyebabkan kepingan-kepingan besar batuan akan terpisah daripada batuan induk. 
  •  Proses pelepasan tekanan ini biasa berlaku ke atas batuan igneus seperti granit.
Tindakan basah dan kering 
  • Berkesan di kawasan tropika yang mengalami musim hujan dan kering yang nyata. 
  • Semasa musim hujan batuan akan basah dan mengembang manakala semasa musim kering sejatan akan berlaku ke atas batuan tersebut menyebabkan batuan tersebut mengecut. 
  •  Proses basah dan kering yang berlaku secara yang berulang dalam tempoh tertentu akan menyebabkan batuan tersebut merekah dan akhirnya pecah. 
  • Gambar menunjukkan batuan yang mengalami kelupasan
  •  Proses basah kering juga berlaku di kawasan pinggir laut  tropika lembap. 
  • Semasa air pasang batuan di kawasan pinggir pantai akan basah dan mengembang manakala semasa air laut surut batuan pinggir pantai akan terdedah kepada pancaran matahari yang terik menjadikannya kering semula. 
  •  Proses basah kering ini akan berlaku secara berulangkali dan akhirnya menyebabkan batuan pinggir pantai merekah dan kemudiannya pecah dan relai.
Tindakan Kembang- kecut 
Luluhawa Akibat Perubahan Suhu Yang Berulang
  •  Tindakan kembang dan kecut berlaku dengan giat di kawasan yang mengalami perubahan suhu yang ekstrem seperti di kawasan gurun panas.
  • Di kawasan gurun panas julat suhu hariannya sangat besar. Pada waktu siang pemanasan oleh matahari ( suhu tinggi   ) menyebabkan lapisan luar batuan mengembang lebih cepat daripada bahagian dalam batuan tersebut.  Sebaliknya pada waktu malam suhunya rendah menyebabkan lapisan luar batuan menyejuk dan mengecut lebih cepat daripada  bahagian dalam bataun tersebut. 
  • Proses ini kembang –kecut  akan berlaku secara berulang-ulang dan keadaan ini menyebabkan bahagian luar batuan akan merekah dan pecah secara mengelupas lapisan demi lapisan.
Tindakan biologi 
  •  Tumbuhan juga membantu dalam proses luluhawa fizikal. 
  • Pembesaran akar-akar tumbuhan boleh meretak dan memecahkan sesuatu batuan. P. Birot ( 1966 ), menjelaskan bahawa akar-akar pokok yang lebarnya 10cm dan satu meter panjang apabila memasuki sesuatu rekahan batuan dan kemudiannya membesar akan berupaya untuk menggerakan satu bongkah batuan seberat 10 tan.        
LULUHAWA KIMIA
Konsep luluhawa kimia
Luluhawa kimia merupakan proses  pereputan dan penguraian batuan di permukaan bumi atau hampir permukaan bumi secara insitu oleh agen-agen luluhawa kimia seperti iklim ( suhu, dan hujan  ) serta biotik dengan mengubah kandungan kimia batuan. 

Kata kunci
·         Proses pereputan dan penguraian batuan
·         Agen-agen luluhawa kimia seperti iklim ( suhu dan hujan ) serta biotik
·         Mengubah kandungan kimia batuan

PROSES LULUHAWA KIMIA
Hidrolisis
  • Hidrolisis merupakan satu proses kimia yang melibatkan tidak balas antara mineral ( galian ) yang terdapat dalam batuan dengan air lalu menyebabkan mineral tersebut menjadi lemah.
  • Contoh tindak balas antara air dengan bahan mineral dalam batu granit iaitu felsfar dan mika.
  • Melalui proses hidrolisis ini felsfar telah membentuk tanah liat putih yang dikenali sebagai kaolin.
  • Kaolin banyak terdapat di kawasan batuan granit di kawasan tropika lembap.
Penghidratan
  • Penghidratan ( hydration ) berlaku apabila bahan mineral yang terdapat dalam batuan telah menyerap air lalu mengubah bahan mineral tersebut kepada bahan mineral yang baru. 
  •  Contoh bahan mineral anhidrit atau kalsium sulfat yang bertindak balas dengan air dan kemudian menyerapnya lalu membentuk mineral baru yang dikenali sebagai gipsum.
  • Melalui proses penghidratan bahan mineral yang terdapat dalam batuan bukan sahaja berubah daripada segi kandungan kimia malah melibatkan perubahan isipadu.
 Pengoksidaan
  • Pengoksidaan ialah proses tindak balas antara mineral batuan  dengan air dan oksigen yang terdapat dalam udara.  Proses pengoksidaan paling giat berlaku terhadap batuan yang mengandungi mineral besi (ferum ) lalu melemahkan struktur batuan tersebut.
  • Batuan daripada kumpulan igneus yang mengandungi banyak kandungan besi seperti besi sulfida ( pirit ), ferus oksida( magnetit ) dan feromagnesium ( mika dan hornlend ) apabila terdedah kepada air dan oksigen di udara akan bertukar warna kepada keperangan dan sifat kimianya.
  • Proses pengoksidaan kerap berlaku di kawasan tropika lembap di mana batuan yang mengandungi besi yang terluluhawa telah menghasilkan tanih laterit. 
Larutan 
  •  Larutan ialah proses di mana mineral yang terdapat dalam batuan akan menjadi cair apabila bertindak balas dengan air.
  • Larutan biasanya berlaku ke atas batuan yang mudah larut seperti batu kapur dan dolomit.
  • Bentuk muka bumi Batu Kapur akibat Luluhawa Kimia
  • Air hujan atau asid karbonik telah melarut permukaan batu kapur tersebut lalu menghasilkan larutan kalsium bikarbonat .   
Pengkarbonan
  • Proses pengkarbonan berlaku apabila bahan mineral yang terdapat dalam batuan bertindak balas dengan karbon dioksida di udara dan air hujan atau asid karbonik.
  • Contoh tindak balas antara kalsium karbonat yang terdapat dalam batu kapur dengan air hujan atau asid karbonik akan menghasilkan kalsium bikarbonat. 
  •  Proses ini kerap berlaku di kawasan batu kapur dengan membentuk pelbagai bentuk muka bumi yang menarik.
FAKTOR- FAKTOR LULUHAWA KIMIA / DALAMAN  DI KAWASAN TROPIKA LEMBAP

( i )  Iklim
        ( a )  Hujan

  • Membekalkan sumber air untuk tindak balas kimia dalam semua proses luluhawa kimia seperti larutan, pengkarbonan, penghidratan, pengoksidaan dan hidrolisis. 
  • Hujan yang lebat di kawasan tropika lembap ( melebihi 2000 mm )dan turun sepanjang tahun  mengalakkan proses luluhawa kimia berlaku dengan pesat di kawasan tersebut.            
        ( b )  suhu 
  • Mempengaruhi kadar luluhawa kimia khususnya di kawasan tropika lembab. 
  • Suhu yang sentiasa tinggi sepanjang tahun ( purata 27º C ) menyebabkan kegiatan luluhawa kimia aktif  sepanjang tahun. 
  • Menurut Van Den Hof setiap kenaikan suhu sebanyak 1 ºC akan meningkatkan keberkesanan luluhawa kimia sebanyak 10 %.
( ii  )  Biolog
          ( a )   Peranan tumbuh-tumbuhan
  • Tumbuh-tumbuhan yang banyak di kawasan tropika lembap membekalkan bahan-bahan organik melalui pereputan ranting-ranting atau daun-daun yang gugur. 
  • Bahan-bahan organik yang mereput  akan menghasilkan asid organik seperti asid humik dan asid fulvik yang bertindak balas terhadap batuan di samping membantu mempercepatkan tindak balas  kimia terhadap batuan.
          ( b )   Hidupan dalam tanah dan mikroorganisma
  • Iklim di kawasan tropika lembap yang panas dan lembap sepanjang tahun  menggalakkan pembiakan hidupan dalam tanah seperti cacing dan tikus yang membantu melonggarkan sruktur tanah dengan mengorek lubang dan memindahkan tanah ke permukaan.
  • Apabila berlakunya hujan,  air dan gas-gas tertentu akan masuk jauh ke dalam tanah melalui lubang-lubang  tersebut dan kesannya luluhawa kimia akan berlaku jauh ke dalam tanah.
  • Mikroorganisma  jenis kulat  yang hidup di kawasan tropika lembap   mengeluarkan asid organik yang boleh melarutkan bahan mineral dalam batuan dan sekaligus membantu mempercepatkan tindakan luluhawa ke atas batuan tersebut.
BENTUK MUKA BUMI HASIL TINDAKAN LULUHAWA KIMIA

Pandang darat batu kapur ( karst ) 
  • Pandang darat batu kapur ( karst ) merupakan bentuk muka bumi paling biasa ditemui di kawasan tropika lembap hasil daripada tindakan luluhawa kimia atau dalaman. 
  •  Terhasil melalui tindakan luluhawa kimia melalui proses larutan dan pengkarbonan. 
  • Tindak balas antara kalsium karbonat yang terdapat dalam batu kapur dengan air hujan ( asid karbonik ) akan menghasilkan kalsium bikarbonat lalu membentuk muka bumi di kawasan gua batu kapur yang mengandungi stalatktit, stalakmit, tiang kalsit, sungai bawah tanah dan sebagainya. 
  • Contoh gua yang mempunyai bentuk muka bumi batu kapur ( karst  )ialah Gua Niah dan Mulu di Sarawak,dan Batu Caves di  Selangor.
 Pembentukan tanah laterit
  • Kewujudan tanah laterit berkait rapat dengan proses pengoksidaan dalam luluhawa kimia.
  • Batuan igneus yang mengandungi banyak kandungan besi seperti besi sulfida ( sulferit ), ferus oksida ( magnetit ) dan feromagnesium ( mika dan hornlend ) apabila terdedah kepada air dan oksigen di udara akan bertukar warna kepada keperangan dan sifat kimianya.
Pembentukan tanah liat putih ( kaolin ) 
  •  Tanah liat putih ( kaolin ) adalah hasil tindakan luluhawa kimia melalui proses hidrolisis.
  • Mineral ( galian ) yang terdapat dalam batuan akan menyerap air dan bertindak balas dengannya lalu menyebabkan mineral tersebut menjadi lemah.
  • Contoh tindak balas antara air dengan mineral dalam batu granit iaitu felsfar telah membentuk tanah liat putih yang dikenali sebagai kaolin.                
Pembentukan tors dan bornhard
  • Tors merujuk kepada tunggul-tunggul sisa yang telah mengalami proses gondolan sama ada oleh luluhawa dan hakisan.
  • Luluhawa kimia yang bertindak mereput dan menguraikan struktur batuan bukit yang kemudiaan dihakis dan diangkut ke tempat lain oleh air yang mengalir.
  • Sisa-sisa batuan keras yang tahan kepada luluhawa dan hakisan akan tertinggal dalam bentuk bonjolan dikenali sebagai tors.
  • Bentuk muka bumi tors banyak terdapat di kepulauan Sulawesi dan cerun Banjaran Titiwangsa di Malaysia. 
  • Bornhard pula merujuk kepada tonjolan-tonjolan batuan yang timbul dari dalam bumi setelah batuan di sekitar kawasan tersebut terluluhawa dan kemudiaannya di hakis dan diangkut oleh air. 
  • Bonjolan ini akan timbul dipermukaan bumi dan dikenali sebagai bornhard.
Terdapatnya bahan regolit yang tebal
  • Regolith merujuk kepada lapisan tanah di bahagian atas permukaan bumi yang longgar atau peroi akibat aktiviti luluhawa kimia di kawasan tersebut.
  • Semakin tebal lapisan ini menunjukkan semakin aktif luluhawa kimia di kawasan tersebut.
  • Kajian yang dijalankan di Hong Kong mendapati regolith setebal 60 meter ditemui di kawasan tersebut ,manakala di hutan hujan tropika di Kepulauan Borneo menjumpai lapisan regolith setebal antara 50-100 meter.  
  • Keadaan ini menunjukkan bahawa di kawasan-kawasan tersebut kegiatan luluhawa kimia berlaku jauh ke dalam bumi.  
LULUHAWA BIOLOGI

Konsep luluhawa biologi
Luluhawa kimia merupakan proses  pereputan ,penguraian dan pemecahan batuan
di permukaan bumi atau hampir permukaan bumi secara insitu oleh agen-agen luluhawa biotik seperti tindakan akar tumbuhan, lumut, kulampair dan hidupan dalam tanah seperti cacing , tikus dan mikroorganisma.

Kata kunci
         *   Proses pereputan ,penguraian dan pemecahan batuan
         *   agen-agen luluhawa biotik seperti tindakan akar tumbuhan, lumut,
              kulampair dan hidupan dalam tanah seperti cacing , tikus dan
              mikroorganisma.


PROSES LULUHAWA BIOLOGI

Tindakan akar Tumbuhan
( a )  Tindakan akar tumbuh-tumbuhan 
  • Pembesaran akar-akar tumbuhan khususnya akar tunjang boleh meretak dan memecahkan sesuatu batuan.
  • Akar  tumbuhanapabila memasuki sesuatu rekahan batuan dan kemudiannya membesar secara   perlahan-lahan akan berupaya  untuk batuan yang terdapat di kawasan tersebut.  Proses  ini juga dikenali sebagai bajian akar. 
           

( b )   Tindakan haiwan dalam tanah 
  • Hidupan dalam tanah seperti cacing, tikus dan arnab secara tidak langsung dapat membantu kegiatan luluhawa. 
  • Hidupan dalam tanah melonggarkan sruktur tanah dengan mengorek lubang dan memindahkan tanah  ke permukaan.  
  • Lubang-lubang yang diwujudkan oleh haiwan ini membolehkan air hujan dan gas-gas  tertentu jauh ke dalam tanah kesannya luluhawa akan berlaku jauh ke dalam tanah. 
( c )    Mikroorganisma 
  • Tumbuhan daripada jenis kulat, yang hidup di atas batuan akan mengeluarkan asid organik yang boleh melarutkan bahan mineral dalam batuan dan sekaligus membantu mempercepatkan tindakan luluhawa ke atas batuan tersebut.

KEPENTINGAN BENTUK MUKA BUMI TINDAKAN LULUHAWA KEPADA AKTIVITI MANUSIA

( a )  Kegiatan pertanian -  bahan regolith yang tebal – subur untuk kegiatan pertanian
                                        -  tanah laterit – sesuai untuk tanaman getah dan kelapa sawit.

( b )  Kegiatan perindustrian - Tanah liat ( kaolin ) – industri tembikar
                                               - Batuan Kapur untuk industri Simen.

( c )  Kegiatan pelancongan  - Pandang darat karst – Pemandangan yang menarik dan unik

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...