Saya amat tertarik dengan berita pemuda punk di Acheh di disiplinkan dengan kaedah agama. Pihak pemerintah dan perlaksana dapat berkerjama dalam hal agama, sudah tentu rakyat akan lebih berdisiplin dan terarah dalam menuju kepada negara yang mendapat rahmat dan keberkatan Allah.
Tidak pula di negara kita yang tercinta ini, ada negeri yang menetapkan hukum di dewan undangan negeri tetapi pihak pelaksana yang dibayar gaji oleh pihak pusat tidak mahu bekerjasama, sedangkan perkara yang dirancang itu baik untuk rakyat dan agama. Ketua pelaksana dan pemimpin sama-sama Islam, tapi tidak boleh duduk semeja serta tidak profesional dalam menjalankan tugas. Manakala diluar sana masih ramai rakyat yang buta agama dan merasakan hidup didunia ini hanyalah untuk dunia sahaja tidak sampai ke akhirat.
Pihak pemerintah, pelaksana dan pencacai mencari pelbagai alasan pelarian dari menerima amanah rakyat dalam melaksanakan hukum Allah. Rujuk disini bukan mencari jalan untuk melaksanakan hukum-hukum Allah. Sepatutnya sebagai umat Islam kita sama-sama permudahkan dan mencari jalan dan saling membantu, mencari idea bagaimana mengimplimentasikan hukum-hukum Allah, hal politik kepartian ketepi dulu, supaya kita mendapat apa yang saya tegaskan di atas. Lihat video di bawah.
Kedatangan Nabi Mohammad saw. telah membetulkan banyak tingkah laku arab jahiliah seperti menaman anak perempuan hidup-hidup, tradisi perhambaan, penyembahan berhala dan banyak lagi. Jadi dalam negara umat Islam yang dipraktikkan dengan hukum-hukum Islam adalah amat molek dan maju kehadapan berbanding negera-negara yang tidak mengamalkan hukum Allah. Rakyat hidup berdisiplin dan mengabadikan diri untuk Allah menyebabkan, tiada tipu, kianat, dendam dan mementingkan diri sendiri.
Di bawah saya pastekan apa yang dilaksanakan oleh pemerintah Acheh.
|
DENGAN mengenakan pakaian seragam polis, 65 pemuda punk itu berjalan dalam tiga barisan lurus. Mereka bergerak menuju ke dataran Kompleks Sekolah Polisi Negara (SPN) Seulawah di Aceh Besar, Sumatera, Indonesia.
Melangkah penuh disiplin, mereka kemudian duduk bagi mengikuti sesi kaunseling membina jati diri yang dikelolakan oleh Majlis Permusyawaratan Ulama (MPU).
Di situ, mereka tidak dilayan sebagai pesalah sebaliknya digelar pelatih memandangkan mereka dikehendaki mengikuti sebuah modul pemulihan akhlak dan jati diri dalam tempoh tertentu.
Pada sesi itu, beberapa remaja kelihatan menundukkan kepala sambil mengesat air mata. Selama 10 hari mengikuti kem motivasi diri itu, mereka diajar menguruskan kehidupan dengan lebih baik yang semestinya berteraskan agama Islam.
Sama ada terpaksa atau atas kerelaan sendiri, rata-rata komuniti punk Aceh itu mengaku menyesal atas kealpaan mereka selama ini.
Pada 10 Disember lalu, 65 remaja dan belia punk itu ditahan ketika mereka menghadiri konsert punk di Banda Aceh.
Golongan punk umumnya tidak diterima oleh masyarakat Aceh.
Malah, lelaki tidak dibenarkan menyimpan rambut panjang di wilayah yang melaksanakan undang-undang syariah itu apatah lagi membuat rambut tercacak.
Rantai anjing
Semasa ditahan, kesemua mereka didapati memiliki elemen budaya liar punk. Kebanyakan mereka mempunyai tatu di badan, bertindik, memakai gelang anjing, berbaju compang-camping, berseluar ketat dan berambut trojan.
Budaya sebegitu sememangnya tiada toleransi di Banda Aceh. Sejurus ditahan, mereka dikurung di dalam sebuah lokap. Pakaian, subang tindik dan rantai anjing mereka dibuang.
Selepas itu, kepala lelaki punk itu dicukur sehingga botak, manakala rambut perempuan dipotong pendek seperti polis wanita.
Pelatih lelaki juga diarahkan mandi beramai-ramai di dalam sungai.
Daripada 65 orang yang ditahan, 30 daripadanya berasal dari Aceh manakala selebihnya datang dari wilayah lain di Indonesia seperti Lampung, Palembang, Jambi, Batam, Riau, Sumatera Barat, Jakarta, Bali dan Jawa Barat.
Seorang remaja punk yang dikenali sebagai Riyan berkata, latihan membina jiwa yang dijalaninya di SPN sangat berguna.
"Banyak perkara yang diajar kepada kami terutamanya mengenai disiplin dan peranan kami sebagai anggota masyarakat.
"Secara peribadi, kini saya merasakan saya mampu untuk mengatur hidup dengan lebih baik.
"Lebih penting lagi, kami dididik untuk mendirikan solat lima waktu," katanya kepada portal berita tempatan.
Pendapat Riyan itu disokong rakannya, M. Fauzi.
"Selain disiplin, kami didedahkan dengan latihan fizikal untuk menjaga kecergasan tubuh.
"Saya juga menghargai usaha kumpulan ulama yang datang ke sini untuk memberi kefahaman akidah kepada kami," katanya.
Selain suapan rohani dan jasmani, mereka perlu menjalani pemeriksaan kesihatan setiap hari.
Hasil pemeriksaan mendapati tiga pelatih mempunyai gejala hepatitis dan seorang disahkan positif penyakit itu.
"Jika ada pelatih yang tidak sihat, dia akan dikecualikan daripada mengikuti aktiviti fizikal," kata Fauzi lagi.
Syariah
Seorang pelatih perempuan, dikenali sebagai Sarah, 18, memberitahu, sepanjang berada di kem tersebut, dia menjadi lebih berdisiplin dan mendapat banyak pengetahuan agama.
Dia yang dibesarkan dalam keluarga yang berpecah berkata, pengaruh kawan telah mengheretnya kepada budaya punk.
"Saya sedar saya silap. Selepas keluar dari sini, saya mahu ke sekolah dan berazam menjadi anak yang baik," ujarnya.
Walaupun SPN bertujuan mendidik kumpulan yang telah rosak akhlak, masih ada pihak di Indonesia yang menganggap penahanan itu sebagai satu pencabulan hak asasi manusia.
Bagaimanapun, Gabenor Aceh, Irwandi Yusuf mempertahankan tindakan tersebut.
"Mereka terbabit dalam gaya hidup yang bertentangan dengan undang-undang syariah yang dilaksanakan di Aceh.
"Didikan disiplin, akidah dan moral ini merupakan keprihatinan kerajaan tempatan dan bukannya pencabulan hak asasi manusia," jelas Irwandi.
Menurut beliau, lebih 700 pengikut punk tinggal di Aceh. Mereka biasanya makan dan tidur di tepi jalan atau di tempat letak kenderaan.
Mereka tidak mempunyai pekerjaan bahkan tidak mendapat pendidikan di sekolah agama mahupun sekolah biasa.
"Walaupun itu hak mereka, kerajaan perlu memikirkan masa depan mereka.
"Bolehkah mereka sekadar menjadi punk ketika muda? Bagaimana jika mereka gagal mendapat pekerjaan? Apa akan jadi pada mereka pada masa akan datang?" tanya Irwandi.
Selepas tempoh latihan di SPN tamat, pihak berkuasa akan membantu pelatih terbabit mencari pekerjaan yang sesuai. Mereka juga diberi biasiswa bagi meneruskan persekolahan.
Wajar
"Kami menahan mereka bukan disebabkan cara mereka berpakaian. Islam tidak melarang umatnya berpakaian seperti kumpulan punk.
"Ramai juga yang mengaitkan penahanan ini dengan undang-undang syariah di Aceh tetapi ia sebenarnya tiada kaitan langsung," kata Irwandi.
Aceh merupakan satu-satunya wilayah di Indonesia yang melaksanakan undang-undang syariah. Malah, mahkamah syariah Aceh mempunyai bidang kuasa yang berbeza berbanding mahkamah syariah yang terdapat di wilayah lain.
"Perundangan syariah memang wajar dilaksanakan bukan sahaja di Aceh tetapi di seluruh Indonesia kerana 95 peratus penduduknya beragama Islam.
"Bahkan, Indonesia adalah negara yang mempunyai umat Islam terbesar di dunia," kata Ketua Komuniti Masyarakat Aceh Malaysia, Mansur Usman.
Mansur yang sudah 28 tahun berhijrah ke Malaysia menyifatkan penahanan komuniti punk baru-baru ini sebagai wajar.
"Punk adalah budaya liar yang mengancam sosiobudaya masyarakat Aceh. Sebelum pengaruhnya terus menular, ia perlu disekat.
"Sekurang-kurangnya kehidupan mereka masih boleh dibetulkan dan menjadi pengajaran kepada orang lain," ujarnya ketika ditemui di Kampung Baru, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bukan untuk menzalimi, katanya lagi, undang-undang syariah dianggap pelengkap ke arah kesempurnaan Islam.
Menurut peniaga makanan, Fida, 38, masyarakat Aceh menerima baik pelaksanaan undang-undang tersebut.
"Sebelum ini, gadis bebas memakai pakaian ketat dan tidak bertudung, begitu juga pergaulan lelaki dan perempuan. Namun, sekarang keadaan berubah.
"Mereka patuh kepada undang-undang kerana enggan dimalukan di khalayak umum," katanya yang pulang ke Aceh setahun sekali.
No comments:
Post a Comment