PENYELIDIKAN PRA-U 2011

Saturday, August 10, 2013

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI 1434 HIJRAH

Ada hari raya hanya untuk berseronok, makan minum, main mercun, pakai baju baru?
Adakah itu nama raya dalam Islam?

Hari Raya Aidilfitri  atau "perayaan fitrah" disambut pada 1 Syawal tahun Hijrah. Perayaan tersebut juga dikenali sebagai Hari Raya Puasa, Hari Raya Fitrah, dan Hari Lebaran. Hari Raya diraikan sebagai menandakan kemenangan dan kesyukuran kita yang telah dapat melawan hawa nafsu makan minum, mengawal dosa pancaindera dan shawat semasa dalam latihan bulan ramadhan. Kejayaan ini disambut secara beradab dan terkawal mengikut kehendak Ilahi jauh dari dosa dan noda. Kemudian ditambahkan pula berpuasa selama enam hari dibulan syawal dan terus mengaja diri dan nafsu dari apa yang ditegah oleh Allah SWT dan Rasul saw. 
.
Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan yang dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia tidak kira bangsa sama ada Melayu, Cina, India dan lain-lain bangsa di seluruh dunia yang beragama Islam bagi menandakan berakhirnya bulan Ramadhan yang mana umat Islam telah menjalani ibadat puasa dengan tekun. Ia merupakan antara dua perayaan terbesar bagi umat Islam, selain Hari Raya Korban.

Hari Raya Puasa bermula melalui dua cara; iaitu melalui rukyah (melihat anak bulan) ataupun secara hisab(kiraan). Sekiranya melalui rukyah, apabila anak bulan kelihatan, ini menandakan bermulanya bulan Syawal, iaitu bulan ke-10 dalam Takwim Hijrah Islam. Di Malaysia, anak bulan akan diperhatikan oleh pegawai bertugas pada sebelah petang hingga waktu maghrib di beberapa tempat strategik.

Perayaan Hari Raya Puasa merupakan berakhirnya tempoh untuk membayar zakat fitrah iaitu zakat yang dikenakan kepada mereka yang masih hidup sehingga masa itu. Zakat fitrah tidak perlu dibayar bagi mereka yang telah meninggal dunia. Kebiasaannya orang Islam juga akan mula membayar zakat fitrah semenjak hari pertama berpuasa bermula dan zakat fitrah ini akan berhenti dikutip apabila solat sunat Aidilfitri dimulakan. Oleh itu, pada kebiasaannya solat sunat Aidilfitri dilewatkan sedikit berbanding solat sunat Aidiladha. Hikmahnya dilewatkan sedikit solat sunat Aidilfitri adalah bagi memberi peluang kepada mereka yang belum membayar zakat untuk menunaikan kewajipan mereka dan disunatkan makan dahulu sebelum pergi ke masjid. Berlainan pula, solat sunat Aidiladha digalakkan diawalkan waktunya bagi memberi lebih banyak masa untuk penyembelihan korban. 

Apabila tarikh Hari Raya telah ditentukan, umat Islam akan bertakbir dan bertahmid sambil memuji kebesaran Allah. Tempoh bertakbir bagi Hari Raya Aidilfitri adalah antara terbenamnya matahari(hari terakhir bulan Ramadan) sehingga solat sunat Hari Raya Aidilfitri bermula pada pagi 1 Syawal tahun Hijrah. Hari raya disambut pada pagi hingga malam.

Selamat menyambut Hari Raya Aidil Fitri dari pagarmuseh.blogspot.com
Semoga anda masih bersama dan memilih blog ini. Terima kasih semua di atas segala teguran dan pandangan yang membina dari penulis.

No comments:

Post a Comment