PENYELIDIKAN PRA-U 2011

Tuesday, April 9, 2013

KULIAH 14 - EDARAN AIR TANIH


KULIAH 14  -  Edaran air Tanih   [ 2 masa ]
Objektif P&P.
a)      Menyatakan dan menghuraikan proses edaran air tanih.
b)      Menghuraikan faktor yang mempengaruhi edaran air tanih.

1.                  Konsep Edaran Air Tanih



  1. Air tanih merujuk kepada air yang berasal daripada hujan atau pencairan salji yang meresap secara tegak ke dalam tanah dan kemudiannya tersimpan di zon  pengudaraan berhampiran permukaan bumi atau di lapisan tidak telap air yang dikenali sebagai akuifer.
  2. Dengan lain perkatan ianya merujuk kepada semua bentuk pergerakan air yang menggunakan tanih sebagai medium ( bahan antaranya) seperti aliran sup-permukaan, susupan dan pergerakan air secara mendatar dalam sistem akuifer.
  
2.                  Komponen-komponen edaran air tanih

     i.   Larian Air Permukaan – Baki air hujan yang mengalir dipermukaan bumi setelah ditolak 
          dengan yang mengalami sejatan, pintasan, susupan dan digunakan oleh tumbuhan.

    ii.   Resapan – Susupan air hujan secara menegak ke dalam tanah. Air hujan akan 
          menyusup menerusi liang-liang pori tanah.

    iii.  Aliran Air Bawah Tanah – Resapan air hujan secara menegak ke dalam tanah. Air 
          hujan menyusup menerusi liang-liang pori tanih. Edaran air tanah merujuk kepada 
          kepada semua bentuk pergerakan air yang menggunakan tanah sebagai mediumnya 
          seperti aliran sub-permukaan, susupan dan pergerakan air secara mendatar dalam
          sistem akuifer.

    iv.  Simpanan air tanih Air yang tersimpan dalam batuan yang boleh menakung 
          dam/ lapangan membendung air (akuifer) bergantung kepada:-

          1.   Keporosan – Nisbah rongga atau liang pori berbanding dengan 
                keseluruhan isipadu batuan.
          2.   Ketelapan – Keupayaan sesuatu jenis batuan untuk memindahkan air atau
                membenarkan air mengalir dan meresap melaluinya.
          3.   Akuifer – Formasi/ lapangan air geologi yang boleh menyimpan air dan bertidak
                sebagai konduit untuk air mengalir di dalam tanih menuju ke sungai.

  
LARIAN AIR PERMUKAAN

Konsep air larian permukaan
Larian air permukaan merujuk kepada saki baki air hujan yang mengalir sama ada di atas permukaan bumi, di antara permukaan dan dalam alur setelah jumlah keseluruhan hujan ditolak dengan yang mengalami sejatan, pintasan, susupan dan yang digunakan oleh tumbuhan. 


RESAPAN ( INFILTRASI )

Konsep Resapan
Resapan atau infiltrasi merujuk kepada susupan air secara menegak ke dalam tanah menerusi liang- liang pori tanah tersebut.


Faktor-faktor yang mempengaruhi proses larian air permukaan/ Resapan ( Infiltrasi )

1.  Jenis tanih. 
     -    Jenis tanih mempengaruhi kadar susupan ( infiltrasi ) air kedalam tanah dan
          jumlah air larian permukaan.
     -    Sekiranya tanih di sesuatu kawasan jenis yang mudah menyerap air ( liang-liang
          porinya banyak dan besar ) seperti tanah pasir, maka kadar susupan air ke dalam
          tanah adalah amat tinggi. Oleh itu kadar air larian permukaan adalah rendah. 
     -    Bagi tanih yang liang-liang porinya kecil dan tidak telap air seperti tanah liat kadar
          susupan air ke dalam tanah rendah sebaliknya kadar air larian permukaannya  tinggi.

2.  Intensiti hujan
     -    Sekiranya hujan yang turun lebat maka kebolehan air tersebut untuk menyusup
          ke dalam tanah semakin berkurangan sebaliknya kadar air larian permukaan
          bertambah.
     -    Bagi hujan yang renyai-renyai walaupun dalam jangka masa yang lama tidak
          akan memberi kesan kepada kadar aliran air permukaan sebaliknya memberi
          ruang kepada air tersebut menyusup ke dalam tanah.


3.  Kecerunan
     -    Merujuk kepada curam atau landai sesuatu kawasan.
     -    Semakin curam sesuatu cerun semakin laju pergerakan air larian permukaan
          sekaligus mengurangkan susupan air ke dalam tanah.
     -    Bagi cerun yang landai halaju pergerakan air adalah rendah dan keadaan ini akan
          menyebabkan kadar susupan air dalam tanah meningkat.

4. Kandungan air dalam tanah
-    Kandungan air dalam tanah yang banyak akan mengurangkan kadar susupan air
     dalam tanah disebabkan tanah tersebut telah tepu dan tidak berupaya lagi untuk
     menyerap air. Keadaan ini akan menggalakkan larian air permukaan.
-    Sekiranya kandungan air dalam tanah kurang terutama semasa kemarau kadar
      susupan air ke dalam tanah adalah tinggi dan keadaan ini akan mengurangkan
      kadar air larian permukaan. 

5.  Peranan tumbuh-tumbuhan
-    Tumbuh-  tumbuhan berperanan sebagai pintasan atau cegatan ke atas titisan air
      hujan yang jatuh ke permukaan bumi.
-    Titisan air hujan yang jatuh akan dipintas oleh daun, ranting ( lapisan kanopi ) tumbuhan
     menyebabkan air hujan tersebut jatuh secara menitis ke atas permukaan bumi.     
-     Air hujan yang jatuh jatuh ke permukaan bumi secara menitis ini cenderung untuk
      menyusup ke dalam tanah dan sekaligus mengurangkan air larian permukaan.


ALIRAN AIR BAWAH TANAH

Konsep aliran air tanah

Aliran air tanah merujuk kepada pergerakan air bawah tanah yang menggunakan tanah sebagai mediumnya seperti aliran sub-permukaan, resapan air secara tegak ke dalam tanah ( infiltrasi ) dan pergerakan air secara mendatar dalam sistem akuifer.

Penerangan konsep

       -  Aliran air tanah berlaku secara mendatar dari sistem akuifer ke dalam badan- badan
          air yang berhampiran dengannya seperti laut, sungai, tasik, kolam dan  empangan.
       -  Aliran air tanah ini berlaku kerana terdapatnya perbezaan tekanan dan kecerunan
           antara ke dua-dua tempat tersebut.
      -   Aliran ini berlaku secara perlahan dan banyak bergantung kepada faktor batuan
          di kawasn tersebut.  Sekiranya rongga-rongga atau liang-liang pori batuan besar
          aliran air tanah ini berlaku dengan lebih cepat.
     -    Air bawah tanah merupakan pembekal air utama kepada sungai, kolam, tasik atau
          empangan khususnya semasa badan-badan air tersebut mengalami kekurangan air.

         
SIMPANAN AIR TANIH

     -    Air tanih wujud di bawah permukaan bumi di dua zon yang berbeza iaitu di zon
          tidak tepu ( zon pengudaraan ) dan di zon tepu.

          i.  Zon tidak tepu (zon pengudaraan )
              -  Zon yang terletak berhampiran dengan permukaan bumi.
              -  Air bawah tanah di zon ini dikenali sebagai lembapan tanih.

         ii.  Zon Tepu
              -   Dianggap sebagai air tanah yang sebenar
              -   Tersimpan di dalam rongga-rongga atau liang-liang pori tanah di bawah 
                  lapisan tanah.  
              -   Air pada zon ini penting sebagai penyumbang sumber air kepada badan-badan 
                  air utama  semasa berlakunya kekurangan air.


FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI SIMPANAN AIR TANAH/ IMBANGAN AIR TANIH.

Faktor semulajadi

1.   Tumbuh-tumbuhan
      -  Lapisan kanopi tumbuhan ( daun, dahan dan ranting ) menjadi pintasan titisan air hujan
          yang jatuh  ke permukaan bumi. Akibat pintasan ini, air hujan akan jatuh secara perlahan 
          ( menitis ) ke permukaan bumi.  Jatuhan air hujan secara menitis akan menyebabkan air 
          hujan tersebut  cenderung untuk meresap ke dalam tanah.
      -  Tumbuhan yang mempunyai akar banir yang biasanya timbul di atas permukaan tanah
          berupaya untuk menghalang larian air permukaan. Air yang tersekat oleh akar ini akan
          meresap  ke dalam tanih menjadi air tanih.

2.   Jenis tanah
      -  Tanah yang berstruktur longgar seperti batu pasir memudahkan resapan air secara
          menegak ke dalam tanah.  
      -   Tanah yang berstruktur padat seperti tanah liat menghalang resapan air ke dalam
          tanah sebaliknya menggalakkan berlakunya larian air permukaan.

3.   Hujan
      - Hujan yang lebat dan dalam tempoh yang lama, contohnya semasa musim tengkujuh   
        akan membekal jumlah air tanih yang banyak.
      - Hujan yang kurang terutamanya pada musim kemarau akan menyebabkan simpanan
        air tanah berkurangan.
      - Walau bagaimanapun hujan yang lebat dalam tempoh yang singkat tidak banyak
        menyumbang kepada air tanih disebabkan air hujan tersebut tidak sempat untuk
        meresap ke dalam tanih sebaliknya membentuk larian air permukaan.

  4.   Kewujudan sumber- sumber air permukaan
     -  Sumber-sumber air permukaan seperti sungai, tasik,kolam dan lain-lain menjadi
         pembekal utama kepada system akuifer air dalam tanah.


AKTIVITI MANUSIA YANG MENGGANGGU SIMPANAN AIR TANAH.

1. Penyahhutanan / pembalakan

  -  Lapisan kanopi tumbuhan ( daun, dahan dan ranting ) menjadi pintasan titisan air hujan yang    
     jatuh  ke permukaan bumi.  Aktiviti penyahhutanan akan mengurangkan  pintasan ini, kesannya air hujan akan jatuh secara terus ke permukaan bumi.  Jatuhan air hujan secara terus dalam kuantiti yang banyak akan menyebabkan air hujan tersebut cenderung untuk mengalir di atas permukaan dalam bentuk aliran air  permukaan dan seterusnya mengurangkan resapan air ke dalam tanah. Kesannya air  tanih berkurangan.  

  -  Tumbuhan yang mempunyai akar banir yang biasanya timbul di atas permukaan tanah. Akar   
      tumbuhan berupaya untuk menghalang larian air permukaan. Aktiviti penyahhutanan  
      menyebabkan larian air permukaan bertambah dan keadaan ini mengurangkan resapan air
      ke dalam tanih yang mengurangkan simpanan air  tanih.

2. Penurapan / penyimenan permukaan

  -  Aktiviti penurapan atau penyimenan permukaan khususnya di kawasan bandar akan 
     menghalang  resapan  air ke dalam tanah.
  -  Penggunaan tar atau simen akan menutup liang-liang pori tanah. Air hujan tidak berupaya 
     untuk meresap ke dalam tanah.  Air hujan ini akan mengalir di atas permukaan dalam 
     bentuk larian air  permukaan dan mengurangkan resapan  ke dalam tanah.   

No comments:

Post a Comment