PENYELIDIKAN PRA-U 2011

Wednesday, April 25, 2012

AL-BARAA' BIN MALIK AL ANSARI - Pahlawan Bani Ansar


Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka degan memberikan syurga untuk mereka.  Mereka berperang pada Jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan al-Quran).  Dan siapakah yang lebih menepati janji (selain) daripada Allah?  MAka bergembiralah dengan jual-beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar. [at-Taubah, 9 : 111]

Inilah kata-kata yang memenuhi jiwa wira kita pada kali ini, yang hidup untuk mati pada Jalan Allah.  Beliau memahami dan mengenali nilai Shahid dan menjadikkannya sebagai keutamaan beliau.  Beliau adalah salah seorang daripada dua  kandung yang menyerahkan hidup mereka untuk berkhidmat kepada Allah dan Rasul-Nya. Saudara kandung beliau adalah Anas ibn Malik, yang diberikan oleh ibu mereka, Umm Salim, kepada Rasulullah SAW sebagai pembantu peribadi baginda SAW pada usia dua puluh tahun.  Bagi al-Baraa ibn Malik al-Ansari pula, satu-satunya moto beliau adalah 'Allah dan Syurga.'

 Orangnya kecil dan kurus, mungkin ramai yang kasihankan beliau apabila melihat keadaan fizikal beliau.  Akan tetapi, di dalam pertempuran beliau berjaya mengalahkan dan membunuh begitu ramai musuh.  Di medan peperangan beliau merupakan seorang pahlawan hebat yang menggerunkan pihak musuh.  Beliau sangat berani dan nekad sehinggakan Umar RA, yang merupakan Khalifah pada ketika itu, pernah mengutuskan surat kepada para gabenor beliau di seluruh negara Islam mengarahkan mereka supaya tidak melantik beliau mengetuai mana-mana angkatan tentera kerana risaukan keberanian beliau akan menyebabkan semua tentera beliau terbunuh.
Apabila al-Baraa' berperang, beliau bukanlah seorang pahlawan yang mengejar kemenangan, walaupun kemenangan merupakan matlamat utama peperangan.  Bagi al-Baraa', matlamat peribadi beliau adalah Shahid, untuk menamatkan riwayat hidup beliau ketika beperang pada Jalan Allah SWT.  Cintanya pada Shahid inilah yang membuatkan beliau tidak pernah ketinggalan dalam mana-mana peperangan bersama-sama Rasulullah SAW.
Sekiranya kisah beliau hendak diceritakan secara detail, banyak halaman yang akan kita perlukan.  Di sini, marilah kita hayati satu kisah sebagai contoh daripada keberanian dan kecekalan beliau. 
Kisah ini bermula sebaik sahaja kewafatan Rasulullah SAW, apabila banyak puak-puak dan kabilah yang bergegas meninggalkan dan menolak Agama Allah.  Keadaan ini mendapat perhatian Khalifah Abu Bakar as-Siddiq RA, yang sangat tegas dalam soal ini.  Menyedari peri pentingnya beliau menghentikan keadaan ini, Abu Bakar RA menggerakkan sebelas angkatan tentera dari kalangan Muhajirin dan Ansar ke serata pelusuk semenanjung Arab.
Pada ketika itu, kumpulan mereka-mereka yang murtad yang paling kuat dan ramai adalah dari kalangan Banu Hanifah.  Musailamah al-Kath-thab, nabi palsu, bangun di kalangan mereka mengakui bahawa dirinya adalah seorang nabi. Dengan ilmu sihirnya dan percakapannya yang lancar, Musailamah berjaya menarik kebanyakan dari puaknya serta puak-puka disekelilingnya mempercayai bahawa dia adalah nabi selepas Muhammad SAW.  Ramai dari kalangan mereka ini sebenarnya mengikut beliau hanya atas dasar as-sobiyah kerana dia adalah dari kalangan mereka. Dia juga berjaya menyiapkan tentera berjumlah 40,000 orang dari kalangan perwira-perwira pengikutnya.
Tentera Musailamah sangat kuat sehinggakan mereka berjaya mengalahkan angkatan tentera Islam pertama yang dihantar menentang mereka di bawah pimpinan Ikrimah ibn Abu Jahal.  Pengaruh Musailamah juga semakin kuat hingga memaksa Abu Bakar menghantar satu lagi angkatan tentera di bawah pimpinan Khalid ibn al-Walid.  Angkatan tentera ini terdiri daripada kalangan para sahabat yang terbaik dan paling berani dari Muhajirin dan Ansar.  Di barisan hadapan angkatan tentera ini adalah al-Baraa' ibn Malik yang tidak sabar-sabar menanti seruan Jihad oleh Khalid ibn al-Walid, ameer beliau kerana beliau sangat mengharapkan Shuhada.
Akhirnya seruan 'Allahu-Akbar' yang dinanti-nantikan dilaung oleh Khalid ibn al-Walid dan angkatan tentera Islam, bersama-sama dengan al-Baraa' bergegas ke ke medan perang, di kawasan Banu Hanifah di Yamamah, Najd.  Tidak lama selepas itu, peperangan mula berpihak kepada tentera Musailamah.  Tentera Musailamah yang besar dan kuat itu memberikan satu tentangan hebat yang belum pernah dirasai oleh tentera Islam.  Para komander tentera Islam sedar bahawa mereka perlu melakukan sesuatu kerana kekalahan mereka di sini mungkin bermakna tamatnya Islam di semenanjung Arab.
Khalid ibn al-Walid membahagikan tentera Islam kepada dua dan para komander tentera Islam melaungkan kata-kata bersemangat dan mengingatkan mereka pada Janji-janji Allah SWT.  Pada ketika ini, dapat dilihat tentera-tentera Islam mempamerkan keberanian dan kecekalan yang tinggi.  Thabit Ibn Qays yang memegang panji tentera Islam mengorek sebuah lubang dan menanam kedua belah kaki beliau di situ memastikan beliau tidak akan sama sekali berundur.  Beliau terus berjuang sehingga gugur.  Zayd ibn al-Khattab, saudara Umar ibn al-Khattab, menyeru tentera Islam, "Saudaraku, gigit dengan gigi geraham kamu, tetak para musuh dan maralah ke hadapan.  Demi Allah, aku tidak akan bercakap dengan kamu lagi selepas ini sehinggalah samada Musailamah dikalahkan atau aku bertemu Allah SWT."
Walaubagaimanapun, pada hari tersebut al-Baraa' menunjuukkan keberanian dan kecekalan yang paling tinggi.  Apabila peperangan kembali hebat, Khalid ibn al-Walid berpaling ke al-Baraa' dan berkata, "Wahai Baraa', mara, anak muda Ansar."  Al-Baraa' kemudiannya menyeru kepada tentera-tenteranya dengan kata-kata yang penuh dengan keberanian dan kekuatan, "Wahai orang-orang Madinah (Ansar), jangan ada di kalangan kamu yang memikirkan untuk kembali ke Madinah.  Tiada lagi Madinah untuk kamu selepas hari ini.  Hanya Allah, dan kemudian Syurga."  Inilah kata-kata dari hati seorang perwira muda untuk menyemarakkan semangat juang saudara-saudaranya.  Selepas seruan ini, al-Baraa' bersama-sama dengan tentera Ansar melancarkan serangan mereka yang paling hebat ke ats tentera Musailamah, memecahkan benteng mereka dan menetak serta menakik mereka, sehinggalah tentera musuh ini akhirnya mula berundur.  Mereka berundur dan bertahan di dalam sebuah taman yang kemudiannya dikenali sebagai Taman Kematian kerana ramainya mereka yang terbunuh di situ pada hari tersebut.  Taman tersebut dikelilingi dengan tembok-tembok tinggi.  Musailamah dan ribuan tenteranya memasuki taman tersebut dan mengunci pintu pagarnya dari dalam.  Dengan perlindungan tembok tersebut, mereka mula melancarkan hujan anak panah ke atas tentera Islam.
Menyedari betapa bahayanya helah Musailamah ini dan kesannya ke atas peperangan tersebut, serta mengharapkan bahawa inilah peluang yang beliau tunggu-tunggu untuk mencapai Shahid dan bertemu Allah SWT, al-Baraa' lantas mara ke hadapan dan berkata kepada tenteranya, "Letakkan aku di atas sebuah perisai, tinggikan perisai itu dengan tombak-tombak kamu dan campakkan aku ke dalam taman tersebut berdekatan dengan pintu pagarnya.  Samada aku gugur sebagai shuhada atau akan kubuka pintu pagar itu untuk kamu."  Ini memberikan satu contoh hebat atas kecekalan dan cara seseorang yang mencari Shahid, kerana beliau memikirkan yang beliau akan dapat membuka pintu tersebut untuk membolehkan para tentera Islam masuk dan menamatkan fitnah besar Musailamah serta pengikutnya dan pada masa yang sama beliau akan dianugerahkan dengan Shahid yang diidam-idamkan beliau ketika melakukannya. 
Al-Baraa' yang kurus dan kecil itu kemudian duduk di atas sebuah perisai.  Beberapa bilah tombak digunakan untuk meninggikan perisai tersebut dan al-Baraa' kemudiannya dicampakkan ke dalam Taman Kematian ke tengah-tengah ribuan tentera musuh.  Beliau mendarat di kalangan mereka seperti halilintar dan terus berjuang dengan mereka berhampiran dengan pintu pagar tersebut.  Ramai yang rebah di hujung pedang beliau dan beliau sendiri mengalami lebih dari lapan puluh luka di tubuh beliau sebelum beliau berjaya membuka pintu pagar tersebut.
Tentera Muslimin menyerbu masuk ke dalam taman tersebut melalui pintu pagarnya dan kemudiannya juga dengan memanjat tembok-tembok.  Pertempuran semakin hebat dan ratusan terbunuh sehinggalah tentera Muslimin mendapatkan Musailamah dan membunuhnya.
Demikianlah keberanian dan kecekalan al-Baraa' ibn Malik yang bersedia mengorbankan dirinya pada Jalan Allah dan demi mempertahankan kedaulatan Islam serta menghapuskan musuh-musuhnya.  Melalui keberanian dan kecekalan beliau tentera Islam diganjarkan dengan kemenangan walaupun pada satu ketika mereka berada di ambang kekalahan.
Al-Baraa' kemudiannya dibawa pulang ke Madinah dan Khalid ibn al-Walid sendiri merawat seliau selama sebulan sehinggalah beliau sembuh dari kecederaan.  Al-Baraa' terus bertekad mencari Shahid yang belum dikecapi beliau.  Beliau berterusan menyertai peperangan demi peperangan dengan harapan dapat mencapai matlamat beliau dan dianugerahkan Shahid oleh Allah SWT.
Doa beliau akhirnya dimakbulkan di peperangan Tustar di Parsi.  Di Tustar, tentera Parsi telah terkepung di dalam salah satu kota bertembok mereka.  Apabila kepungan berterusan dan mereka semakin lemah, mereka menggunakan satu taktik baru.  Mereka mula melemparkan rantai-rantai besi yang dihujungnya diletakkan satu cangkuk besi yang panas kemerahan.  Apabila tentera Islam tersangkut pada cangkuk-cangkuk ini, mereka akan ditarik sehingga mati.  Salah satu cangkuk ini tersangkut pada Anas ibn Malik, saudara al-Baraa'.  Sebaik sahaja al-Baraa' melihat kejadian ini, beliau terus melompat ke tembok kota tersebut dan menggengam rantai yang menarik saudaranya itu sambil mengeluarkan cangkuk tersebut dari tubuh Anas.  Tangan al-Barra' mula terbakar kepanasan tetapi beliau tidak melepaskan genggamannya sehinggalah saudarnya berjaya dilepaskan.  Selepas Anas dilepaskan, a-Barra' dan orang-orangnya melihat keadaan tangannya dan mendapati bahawa semua isinya telah terbakar dan mereka dapat melihat tulang-tulang tangan beliau.
Al-Baraa' kemudiannya berdoa kepada Allah SWT, "Ya Allah, kurniakanlah kemenangan kepada kami dan temukanlah aku dengan Rasul-Mu pada hari ini."  Al-Baraa' akhirnya dianugerahkan dengan Shahid dalam peperangan ini selepas lama merenung saudaranya, seolah-olah mengucapkan selamat tinggal.
Demikianlah kesudahan yang penuh dengan ketabahan dan keimanan yang sejati pada Allah SWT apabila al-Baraa' akhirnya dianugerahkan dengan Shahid yang diidamkan beliau sepanjang hidup beliau dan beliau berusaha gigih untuknya.  Shahid yang merupakan matlamat utama beliau di dunia ini; Shahid yang beliau faham akan nilainya lebih dari orang lain, yang menyebabkan beliau berlari mendapatkannya.
Al-Baraa' hidup dengan moto 'Allah dan Syurga', membuka jalan kepada umat Islam dan menunjukkan kepada mereka jalan ke Syurga. 
Kita doakan semoga Allah SWT memberikan al-Baraa' apa yang diidamkan beliau dan membangkitkan beliau bersama-sama dengan Rasul-Nya, hamba-hamba-Nya yang beriman dan para Shuhada dan kita mohon Allah SWT menjadikan dari kalangan anak muda kita mereka yang mengikut jejak langkah al-Baraa' and merasai keindahan Shahid, Amin ya Rabbal Alamin.

No comments:

Post a Comment