PENYELIDIKAN PRA-U 2011

Sunday, October 9, 2011

DUNIA PULAU-PULAU BUATAN DI DUBAI SEDANG TENGELA M

DUBAI (Alarabiya.net) – Gugusan pulau-buatan manusia “The World” di luar pantai Dubai sedang tenggelam, menurut laporan sebuah akhbar harian di Kanada.
"The World" yang merupakan pembinaan pulau-pulau berbentuk peta dunia, sedang tenggelam semula ke laut, menurut bukti yang dikemukakan kepada tribunal hartanah, lapor Ottawa Citizen, Jumaat.

Pulau-pulau yang hanya boleh dikunjungi dengan bot itu, sedang mengalami hakisan tanah sementara terusan navigasi antara pulau-pulau itu pula sedang mendap, kata peguam Britain yang mewakili sebuah syarikat menentang syarikat pemaju tempatan, Nakheel, kepada para hakim. ''Pulau-pulau itu sedang mendap ke laut,'' kata Richard Wilmot-Smith QC, bagi pihak Penguin Marine.

Menurut Nakheel, 70 peratus daripada 300 pulau di The World telah dijual, tetapi kebanyakan pelan pembangunan sehingga kini gagal dicapai berikutan krisis kewangan yang melanda dunia. Hanya sebuah pulau sahaja – Greenland - yang setakat ini didiami, dan itulah pulau contoh yang dimiliki pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed bin Rashid al-Maktoum.

Syarikat tersebut adalah sebahagian dari Dubai World, iaitu konglomerat milik kerajaan yang terpaksa diselamatkan kerana menanggung hutang sebanyak $25 billion pada akhir tahun 2009.

Nakheel juga terlibat dalam pembangunan tanah berbentuk pokok kurma (gambar bawah) di luar pantai Dubai.

Beberapa villa di Palm Jumeirah, satu-satunya projek yang hampir siap, telah diberi kepada pemain-pemain bolasepak atau dibeli oleh bintang bolasepak terkenal, termasuklah bekas bintang England David Beckham dan Michael Owen, kata www.watoday.com.au.

Dan menurut Ottawa Citizen, terdapat khabar angin yang mengatakan pasangan Hollywood Brad Pitt dan Angelina Jolie turut bercadang membeli projek pulau Ethiopia dalam “The World”.

Para pelabur yang telah membeli pulau-pulau tersebut memang terbukti tidak mahu atau tidak mampu lagi membiayai kerja-kerja selanjutnya selepas harga hartanah di Dubai menurun sehingga separuh.

John O'Dolan (gambar bawah), pemilik syarikat yang membeli pulau Ireland dengan harga $38.5 juta, telah membunuh diri, sementara Safi Qurashi, yang membeli Britain dengan harga $69 juta, dipenjarakan di Dubai kerana dituduh mengeluarkan cek tendang, kata watoday.com.au.

Penguin Marine, yang membeli hak untuk menyediakan pengangkutan bot ke pulau-pulau berkenaan, sedang berusaha untuk keluar dari kontrak melibatkan pembayaran yuran tahunan sekitar $1.6 juta kepada Nakheel.

No comments:

Post a Comment